RENCANA

Get Growth On Track: Adakah anak anda membesar dengan baik?

OLEH NAEEM RAFFI

Melihat cahaya mata membesar depan mata suatu detik penting yang sering didambakan setiap ibu bapa.

Namun, dalam keasyikan melihat anak-anak terus membesar, ada juga ibu bapa tidak sedar bahawa tumbesaran anak mereka tidak berlaku dengan sempurna.

Tumbesaran adalah satu proses fisiologi yang kompleks seawal dua tahun pertama kehidupan kanak-kanak sebelum proses itu berterusan pada kadar yang tetap iaitu lima hingga sembilan sentimeter setiap tahun hingga mereka berusia kira-kira 10 tahun.

Apabila kanak-kanak memasuki usia remaja iaitu 11 tahun bagi perempuan dan 13 tahun bagi lelaki, lonjakan tumbesaran berlaku sekali lagi selama kira-kira dua tahun sebelum ia berakhir perlahan-lahan, pada usia 16 hingga 18 tahun.

Hormon tumbesaran dihasilkan oleh kelenjar pituitari yang terdapat dalam otak untuk merangsang tumbesaran. Selain menggalakkan tumbesaran fizikal (ketinggian), ia juga mempengaruhi perkembangan tulang, otot dan lemak tubuh.

Oleh itu, hormon tumbesaran sangat penting untuk perkembangan dan fungsi tubuh manusia yang sihat.

Kebanyakan kanak-kanak di Malaysia membesar dengan normal, namun Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan terdapat juga kanak-kanak yang tidak membesar dengan baik.

Apa kata pakar?

Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) menerusi IMFed Malaysia dengan sokongan Abbott Malaysia melancarkan kempen Get Growth On Track untuk mengenal pasti dan membantu kanak-kanak berisiko menghadapi masalah pertumbuhan.

Presiden MPA, Prof Madya Dr Muhammad Yazid Jalaludin berkata, ramai kanak-kanak yang kelihatan sedang membesar dengan normal mungkin akan menjadi lebih rendah dan ringan daripada yang dijangka apabila meningkat dewasa.

“Kadar prevalens kanak-kanak terbantut (rendah untuk usianya) di bawah umur lima tahun meningkat daripada 17 peratus pada 2006 kepada 20.7 peratus (2016).

“Kurang berat badan bagi kumpulan umur sama juga meningkat daripada 12.9 peratus pada 2006 kepada 13.7 peratus (2016),” katanya.

Prof Yazid berkata, kanak-kanak mempunyai kadar pertumbuhan yang sihat lebih cenderung mempunyai corak pertumbuhan sihat apabila terus membesar.

“Oleh itu, kita perlu mengesan dan membetulkan masalah pertumbuhan untuk semua kanak-kanak bagi membantu mereka membesar dan mencapai potensi penuh pertumbuhan mereka.

“Ini sangat penting terutama bagi lima tahun pertama kehidupan kanak-kanak. Sebanyak 60 peratus potensi pertumbuhan kanak-kanak dicapai, pada usia ini,” katanya.

Intervensi awal, menurut Prof Yazid sangat penting kerana ia boleh menghindarkan pelbagai masalah jangka panjang yang dikaitkan dengan pertumbuhan tidak baik termasuk masalah kesihatan (penyakit metabolisme) dan cabaran perkembangan atau psikososial seperti prestasi kognitif yang lemah selain keyakinan diri yang rendah.

Sementara, Pengerusi IMFeD Malaysia, Prof Dr Lee Way Seah pula menggalakkan ibu bapa untuk bekerjasama dengan pihaknya bagi mengoptimumkan pertumbuhan anak-anak mereka.

“Kami menjemput ibu bapa untuk mengunjungi pakar pediatrik yang mengambil bahagian yang dilatih untuk ‘Mengukur, Mengenal Pasti & Menguruskan’ masalah pertumbuhan, dalam kalangan kanak-kanak.

“Kami akan memplot nilai berat badan dan ketinggian mereka ke atas carta pertumbuhan, menyiasat faktor risiko pertumbuhan yang mungkin dan menasihati ibu bapa berhubung langkah seterusnya yang perlu diambil,” katanya.

Prof Lee berkata, pakar pediatrik akan memberi perhatian khusus kepada beberapa tanda penting termasuk diet yang tidak baik, pengambilan makanan tidak mencukupi dan kewujudan masalah kesihatan yang kronik.

“Terdapat banyak perkara yang boleh menjejaskan status pemakanan kanak-kanak yang setakat ini adalah penentu yang paling penting dan langsung untuk betapa baiknya seseorang kanak-kanak itu membesar,” katanya.

“Ini mungkin menjadi sebab mengapa kanak-kanak terbabit lebih rendah atau ringan daripada kanak-kanak biasa atau mungkin menjadi sedemikian dalam masa beberapa tahun, dari sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, Prof Lee berkata, terdapat beberapa strategi yang boleh diamalkan ibu bapa untuk membantu mengatasi faktor risiko pertumbuhan ini.

“Ibu bapa akan diberi nasihat berhubung jenis makanan untuk diberi, peraturan dan teknik makan, panduan untuk memastikan tidur yang mencukupi, malahan juga panduan keibubapaan yang berkaitan.

“Jika perlu, pakar pediatrik juga mungkin akan menyarankan penambahan pemakanan oral jika anak anda memerlukan tenaga dan nutrien tambahan untuk mengejar (catch up) pertumbuhannya.

“Intervensi ini perlu disesuaikan untuk anda dan anak anda. Kami berharap, ia menjadi petanda permulaan usaha anda bersama pakar pediatrik untuk terus memeriksa perkembangan anak anda dan mengawasi pertumbuhannya,” kata beliau.

Demi kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak

Pengurus Besar Abbott Malaysia, Robert Cleveland, percaya kempen ‘Get Growth On Track’ tepat pada masanya untuk kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

“Di Abbott, kami memahami kebimbangan ibu bapa tentang sama ada anak-anak mereka membesar dengan baik dan mendapat pemakanan yang diperlukan untuk mencapai potensi penuh pertumbuhan mereka.

“Inilah sebabnya, kami bekerjasama dengan MPA melalui IMFeD untuk menyokong dan melatih pakar pediatrik berhubung peranan pemakanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, sejak 2012,” katanya.

Robert juga berkata, pihaknya kini kami lebih teruja untuk bekerjasama dengan MPA dalam kempen penyaringan dan kaunseling untuk pertumbuhan kanak-kanak yang pertama serta terbesar ini.

Ibu bapa yang ingin mengetahui lebih lanjut berhubung kempen Get Growth On Track atau ingin mencari pakar pediatrik, sila hubungi sekretariat program IMFeD Malaysia di [email protected] atau telefon 03-79311868 atau 03-79609788.

SUMBER: IMFeD Malaysia


Pengarang :