SUKANKINI

Goh-Shevon mara ke suku akhir All England

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Beregu badminton campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai meneruskan rentak cemerlang apabila berjaya melangkah ke suku akhir kejohanan badminton All England 2019 di Arena Birmingham.

Goh-Shevon mempamerkan semangat juang tinggi meranapkan peluang beregu pilihan ketujuh kejohanan Marcus Ellis-Lauren Smith dari England dengan straight set 21-15, 26-24, menurut laman web kejohanan https://bwfworldtour.bwfbadminton.com.

Pertarungan berlangsung lebih 40 minit itu menyaksikan Goh-Shevon berjaya menutup ruang pencabarnya yang berusaha membawa perlawanan tersebut ke rubber set.

Menanti Goh-Shevon selepas ini lebih sukar kerana pasangan itu akan membuat perhitungan dengan beregu pilihan kedua Wang Yilyu-Huang Dongping dari China.

Naib juara kejohanan badminton dunia 2018 itu mudah mengenepikan Chang Tak Ching-Ng Wing Yung dari Hong Kong, 21-17, 21-11.

Terdahulu, beregu lelaki profesional, Goh V shem-Tan Wee Kiong lebih awal menempah slot ke suku akhir selepas menewaskan beregu Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe 21-18, 21-19.

Dalam pada itu, nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren apabila mudah ditewaskan oleh pemain pilihan kedua kejohanan, Shi Yuqi dari China, 8-21, 10-21.

– BERNAMA


Pengarang :