GLOBALNASIONAL

“Great March of Return” korban 266 rakyat Palestin

GAZA, 29 MAC: Perarakan Pulang Besar-Besaran (“Great March of Return”) yang dianjurkan di Semenanjung Gaza, meragut 266 nyawa rakyat Palestin selepas setahun dianjurkan.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin, mereka yang terkorban termasuk 50 kanak-kanak Palestin, enam wanita dan seorang lelaki warga tua, tiga paramedik dan dua wartawan.

Jumlah yang cedera pula mencecah 30,398 orang dengan 536 daripadanya parah.

Siri perhimpunan massa itu bertujuan memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk kembali ke kampung halaman mereka, menurut laporan agensi berita Xinhua.

Penganjur perarakan berulang kali menggesa komuniti antarabangsa untuk melaksanakan Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengesahkan hak pelarian Palestin untuk kembali ke rumah mereka, namun tiada sebarang perubahan berlaku.

Menurut Resolusi 194 PBB yang diterima pakai pada Disember 1948, pelarian “yang ingin kembali ke rumah masing-masing dan tinggal dalam suasana aman bersama-sama jiran mereka hendaklah dibenarkan berbuat demikian pada tarikh paling awal yang dapat dilaksanakan.” -BERNAMA


Pengarang :