SELANGOR

Gubal akta lebih tegas kepada pelaku pencemaran

OLEH NORHAYATI UMOR

SABAK BERNAM, 17 MAC: Kerajaan Negeri akan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya menggubal akta lebih tegas kepada pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan pencemaran alam sekitar.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, hal itu membolehkan rang-rang undang digubal di peringkat Dewan Negara dan diguna pakai seluruh negara.

“Kita akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan supaya hukuman lebih tegas boleh diambil, memandangkan perkara ini bukan perkara baharu.

“Di Selangor juga, ini adalah kali kedua berlaku dalam tahun ini,” katanya kepada SelangorKini.

Loy Sian berkata, insiden di Pasir Gudang yang hangat ketika ini perlu dijadikan pengajaran dan memerlukan tindakan segera.

“Perkara ini bukan benda baharu berlaku, pihak tidak bertanggungjawab mengambil jalan mudah, namun Kerajaan Negeri sentiasa memantau keadaan kerana bimbang berlaku perkara serius,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari juga mahu Kerajaan menggubal undang-undang lebih tegas kepada pelaku yang didapati bersalah melakukan jenayah alam sekitar.

Katanya, hal itu bagi mengelak perkara sama berulang kembali dan langkah pencegahan perlu dilaksana, di seluruh negara.

Amirudin bersyukur kejadian yang berlaku di Kolam Takungan Taman Eng Ann, Klang hanya membabitkan tumpahan sisa minyak.

Bulan lalu, turut berlaku pencemaran di Sungai Lalang, Semenyih. Bagaimanapun, tindakan pantas Kerajaan Negeri menyebabkan keadaan terkawal.


Pengarang :