SELANGOR

Gubal undang-undang lebih tegas tangani jenayah alam sekitar

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 16 MAC: Kerajaan perlu menggubal undang-undang lebih tegas kepada pelaku yang didapati bersalah melakukan jenayah alam sekitar.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu bagi mengelak perkara sama berulang kembali dan langkah pencegahan perlu dilaksana, di seluruh negara.

“Buat masa ini undang-undang sedia ada di bawah akta Jabatan Alam Sekitar, memandangkan banyak isu yang berlaku akhir-akhir ini, maka kita perlukan undang-undang lebih tegas.

“Dengan adanya hukuman lebih berat, kejadian tidak diingini akan dapat dielakkan selain mengelakkan penduduk selamat dari sebarang ancaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Media dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) 2018, di Galeri Jualan, Bandar Rimbayu, di sini, semalam.

Pada masa sama, Amirudin bersyukur kejadian yang berlaku di Kolam Takungan Taman Eng Ann, Klang hanya membabitkan tumpahan sisa minyak.

Terdahulu, Lembaga Urus Air Selangor yang menjalankam siasatan dan pemerhatian fizikal di lokasi terbabit mendapati, sisa buangan itu adalah sisa minyak yang dibuang menggunakan sebuah lori tangki minyak ke dalam sebuah kolam takungan.

Semakan mendapati tiada aliran keluar daripada kolam itu dan sisa minyak berkenaan terbendung.

Kerja pembersihan sisa minyak di dalam kolam dan longkang berkenaan dimulakan dan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari berdasarkan keluasan kolam 1,300 meter persegi dengan panjang longkang 1.5 kilometer untuk dibersihkan sehingga kawasan kunci air.


Pengarang :