SELANGOR

Gula gula kapas percuma di SACC Walk Flea Market

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 MAC: Penggemar gula-gula kapas atau halus misai kini berpeluang mendapatkan makanan dicipta doktor gigi, John C itu secara percuma di SACC Walk Flea Market, pada setiap Jumaat hingga Ahad bermula 6 petang hingga 12 tengah malam.

Pemangku Pengurus Pusat PREC (PKNS Real Estate Sdn Bhd), Syahril Mohd Rashid berkata, SACC Walk Flea Market menjadi salah satu tumpuan di Shah Alam yang mengimbau kembali kenangan lalu dengan pameran dan jualan barangan ‘vintage’ serta terpakai.

“Ia termasuk seterika arang, lampu minyak tanah, kole aluminium, tabung duit antik, mangkuk tingkat, alat menoreh getah, jam antik, pengasap lebah, piring hitam, alat pemain piring hitam, acuan bahulu, ketam kayu, teko antik, stereo antik dan banyak lagi yang pasti mengujakan pengunjung.

“Selain itu, pengunjung juga dapat lepak dan beriadah bersama keluarga serta rakan sambil menikmati juadah makanan dari kendera saji yang dibawakan khas Tapak Urban Street Dining selain berhibur dengan persembahan buskers dan aksi si badut.

“Aktiviti lain yang terdapat di SACC Walk Flea Market seperti pelukis jalanan atau karikatur, ‘giant bubble’ dan ‘sand art’,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan sama, katanya, program itu akan sentiasa ditambah baik untuk memberikan lebih variasi dan impak yang lebih besar bagi menarik lebih ramai penduduk, khasnya di Shah Alam

Beliau berkata, pihaknya bakal mengadakan pertandingan kereta mini Tamiya 4WD, gusti lengan, pertandingan karaoke, pertandingan makan dan sebagainya.

“Keupayaan kami untuk menyediakan ruang dan peluang kepada usahawan terutama bumiputera yang mungkin tiada modal untuk menyewa di luar sana.

“Sebagai pengurus bangunan, kami berasa inilah tanggungjawab bagi membantu mereka melebarkan sayap menjana pendapatan diri dan seterusnya Selangor.

“Kita juga sedang bekerjasama dangan PERDASAMA Selangor bagi menambahkan jumlah peniaga setiap minggu dan membuka peluang kepada peniaga lain,” katanya.

Sebarang pertanyaan lebih lanjut dan cadangan berhubung SACC Walk Flea Market di SACC Walk dan SACC Mall, orang ramai boleh menghubungi Nashriq (012-629 0992).

Manakala, bagi pengunjung yang mahu ke SACC Walk Flea Market boleh menggunakan aplikasi ‘Waze’ ke SACC Walk.

 


Pengarang :