SELANGOR

Had aktiviti luar ketika cuaca panas

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 MAC: Ekoran cuaca panas yang melanda kini, Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin, menyarankan masyarakat untuk mengelakkan kerap berada di luar terlalu lama.

Katanya, ibu bapa dan guru juga perlu memainkan peranan dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan aktiviti luar anak mereka.

“Bagi mengelakkan strok haba, maka saya memohon supaya kita dapat hadkan aktiviti luar dan jika keadaan memerlukan untuk berada di luar, lebihkan minum air masak.

“Anda juga disaran untuk meminum air kelapa tanpa campuran gula supaya ia lebih berkesan untuk menggantikan air yang hilang daripada badan dalam cuaca panas,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, penggemar kafein juga disaran untuk mengurangkan pengambilan minuman itu dan melebihkan buah-buahan serta sayuran dalam diet harian, bagi membantu membekalkan nutrien dalam badan.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat Semenanjung dan Sabah dijangka berterusan hingga akhir Mac ini.

Negeri yang mencatatkan rekod bacaan suhu tertinggi adalah Kedah (36°), Perlis (35°), diikuti Selangor (34°), Melaka (34°), Johor (34°), Pahang (34°) dan Sabah (34°).


Pengarang :