PBTSELANGOR

Hamizun terima anugerah 51 pemimpin bandar pintar berpengaruh

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 13 MAC: Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Hamizun Mohamad Basar, dipilih antara 51 pemimpin bandar pintar berpengaruh di dunia.

Anugerah di bawah kelolaan ‘World CSR Day’ itu turut mendapat kerjasama ‘Global Smart Cities Congress & Awards’ dan ‘World Federation of CSR Professionals’.

Hamizun berkata, beliau terkejut apabila menerima anugerah berkenaan, namun pada masa sama gembira apabila hasil kerja kerasnya selama ini mendatangkan hasil.

“Pada saya, apabila kerja yang dilakukan kerana sayangkan organisasi dan mahu masyarakat mendapat faedah daripadanya, akhirnya inilah yang saya dapat.

“Daripada awal lagi saya sudah tanamkan dalam minda bahawa fungsi utama jabatan korporat untuk menaikkan imej MPSJ ke taraf perbandaran terunggul dan menjadi perbandaran antarabangsa yang bertaraf lima bintang.

“Sekarang kita lihat sendiri, MPSJ sudah berada dalam kelasnya tersendiri,” katanya kepada SelangorKini.

Hamizun mula berkhidmat dengan MPSJ pada 1993 sebagai Penolong Pegawai Penerangan dan kemudian memegang jawatan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik, pada 2010.

Wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Komunikasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut membantu MPSJ memenangi pelbagai anugerah melalui hasil usahanya di peringkat tempatan, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Terdapat beberapa projek istimewa di bawah seliaannya iaitu Rejuvenasi kawasan komersial Lorong Kenari, Rejuvenasi kawasan komersial Sunway Metro, Bandar Mesra Wanita, ‘Subang Jaya Command Centre’, Projek Bandar Pintar dan terbaru Rejuvenasi kawasan komersial Bandar Puteri.

Pada 2008, beliau turut mendapat Pingat Jasa Kebaktian oleh Kerajaan Selangor dan Anugerah Pekerja Terbaik pada tahun 2004, 2008 an 2013.

 


Pengarang :