NASIONAL

Harga getah dijangka kekal minggu depan

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Pasaran getah Malaysia dijangka kekal pada tahap semasa, pada minggu hadapan.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low Jau Foo berkata, ketidaktentuan yang terkait dengan perang perdagangan Amerika Syarikat-China, kelembapan industri automotif China dan Brexit mungkin akan menjejaskan lagi permintaan, walaupun bekalan agak terhad disebabkan musim luruh.

Oleh itu, beliau berkata permintaan mungkin tidak ada pada sepanjang minggu itu.

Low juga melihat pergerakan yang agak hambar dalam harga lateks pukal, khususnya selepas harga menjadi 20 peratus lebih tinggi sejak dua minggu lepas disebabkan pengeluar getah asli dunia mengumumkan bahawa mereka akan mengurangkan eksport untuk mengukuhkan harga getah.

Bagaimanapun, Thailand baru-baru ini mengumumkan bahawa ia akan menunda tarikh pengurangan eksport getah kepada 20 Mei dan bukan mengikut rancangan awal iaitu 1 April depan berikutan pilihan raya umum negara itu.

Awal bulan ini, Indonesia, Malaysia dan Thailand, yang telah membentuk Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) berkata mereka akan memotong eksport getah sebanyak 240,000 tan selama empat bulan mulai April, sejajar dengan Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS).

Bagaimanapun, seorang peniaga lain berkata kenaikan harga minyak mungkin akan memberikan sokongan kepada nilai ringgit.

Katanya, sepanjang minggu tersebut, ringgit, yang kebanyakannya lemah berbanding dolar US, berlegar antara 4.060-4.078 dan ini membantu mengurangkan kerugian.

Secara keseluruhannya, pasaran kebanyakannya bercampur-campur dalam minggu ini.

Dari Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 jatuh 17.5 sen kepada 580.5 sen sekilogram daripada 598.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal menyusut 8.0 sen kepada 480.0 sen sekilogram daripada 488.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutup tidak rasmi bagi SMR 20, turun 18.0 sen kepada 579.0 sen sekilogram daripada 597.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal adalah 8.5 sen lebih rendah kepada 479.0 sen sekilogram berbanding 487.5 sen sekilogram sebelum ini. -BERNAMA

 


Pengarang :