SASTERA

Hari itu, Politik Cuti Sakit

Oleh Lokman Hakim

SAYA tidak tahu apa yang mereka lakukan di sekolah itu. Dengar ceritanya ada pilihan raya, tetapi saya tidaklah ambil berat hal remeh-temeh seperti itu. Ah, bukanlah saya tidak peka dengan senario politik negara ini. Cuma soalnya, mereka mahu mengundi siapa? Tiada calon kelihatan. Tiada sesiapapun yang muncul di paparan media mencalonkan dirinya. Tiada janji ditaburi. Tiada visi. Nihil. Tiba-tiba Suruhanjaya Pilihan Raya mengeluarkan kenyataan media memaklumkan hari ini ada pilihan raya tanpa letak sebab-musababnya.

Lalu apa pula tujuan mereka berkumpul di sekolah itu? Kotak undi sudah diusung masuk. Mereka akan mengisi kertas cabutan undi yang tidak diletakkan nama-nama calon. Tiada parti politik juga kelihatan di mana-mana. Bendera-bendera dan sepanduk digantung hanya terdiri daripada warna-warna pelbagai. Hijau, merah, biru warnanya. Ada yang nakal meletak bendera warna pelangi. Ada juga yang bubuh iklan produk kecantikan tiada kelulusan KKM pada bendera, mengiringi bendera-bendera berwarna pelbagai itu. Tiada siapa tahu makna warna-warna tersebut. Tanpa cogan kata. Tanpa nama parti. Tanpa nama calon. Kosong macam otak rakyat kebanyakan sekarang yang sudah jenuh disuruh bertahan dengan segala bentuk kesusahan tanpa usaha jelas untuk menyelesaikannya.

Rengsa juga dibuatnya. Majikan telah memberi cuti kerana sudah digazetkan hari pengundian ialah hari cuti. Saya tetap mahu bekerja kerana majikan berkata cuti tahunan terpaksa dipotong kerana hari mengundi itu. Ah, mana boleh macam itu! Tapi sebab saya makan gaji, kenalah patuh sahaja. Setakat bercuti apa masalahnya? Setakat potong gaji sehari tidak mengganggu perbelanjaan bulanan sangat.

Saya bertegas untuk tidak pergi mengundi. Biarpun setelah itu, saya diberi leteran bertele-tele mengenai pentingnya menanam rasa patriotik dalam diri. Kita harus ikhlas mengundi, demi perubahan masa hadapan generasi seterusnya, kata majikan. Sambil-sambil itu, dia menghisap cerut dan menghembuskan asapnya ke muka saya seolah-olah saya tiada masa hadapan. Saya tidak peduli akan hal itu. Saya cuma mahu bekerja menghidupkan hari ini. Menghidupkan detik kini itu lebih bermakna daripada berjuang untuk hari esok yang mungkin tak sempat saya temui pun.

Soalnya sekarang ialah bukan saya tidak mahu pergi mengundi. Cuma saya tidak nampak mana-mana parti politik pun. Bagaimana mahu mengundi sesuatu yang tidak ada? Apakah negara ini sudah gila? Saya jadi bingung. Gaji saya dipotong demi pilihan raya palsu. Ia tidak akan mengubah apa-apa. Namun, saya sudah belajar untuk bertahan hingga otak kosong. Saya juga harus menerima sesuatu yang tidak masuk akal seperti pilihan raya ini.

Kereta diparkir di bahu jalan. Saya hanya mahu menikmati sarapan di sebuah warung berhadapan dengan sekolah tersebut. Mujurlah ada beberapa gerai dibuka khas untuk para pengundi membeli makanan ringan. Sekurang-kurangnya, ketenteraman saya di warung kegemaran ini tidak begitu terganggu. Jelas, bilangan pengunjung warung berganda tiga kali berbanding hari biasa. Saya harus akur berkongsi meja dengan beberapa orang pengunjung. Masing-masing punya jari yang sudah diwarnakan menandakan undian sudah dibuat.

Ah, harapnya mereka tidak memandang serong pada diri ini yang tidak mengundi. Tanpa mahu berbual dengan sesiapa, saya ambil nasi lemak di atas meja, lalu menempah teh susu kegemaran. Namun, apabila berada semeja dengan para pengundi, pastinya saya tidak dapat mengelakkan diri daripada mendengar perbualan mereka. Saya dapat rasa cuping ini bergerak-gerak macam telinga keldai menepis lalat.

“Kau rasa siapa yang akan menang nanti?”

“Entahlah. Aku ikut sahaja arahan. Undi tetap undi. Undi demi masa depan.”

“Betul. Yang penting, kita dah laksanakan tanggungjawab kita.”

Saya menghabiskan nasi lemak mungkin hampir tiga bungkus dan tidak berasa kenyang langsung. Sepertimana ketiadaan wakil rakyat untuk diundi, begitu jugalah rasanya hilang perut ini. Saya tempah pula roti telur. Disusuli roti sardin. Teh susu yang habis digantikan pula oleh secangkir nescafe. Habis cangkir nescafe, saya minum pula kopi O gelas besar. Entah apa pula yang menghuni perut saya pada waktu ini. Mungkin ia berkait rapat dengan apa yang saya dengar.

Kedengaran seperti berintipati tetapi kosong makna. Kata-kata retorik yang dilontar sebelum ini juga puas sudah menerjang telinga. Saya patut berhenti makan. Pengunjung-pengunjung warung kian hangat membicarakan hal-hal politik tanpa menyebut nama parti dan individu. Aneh sekali. Bagaimana mereka boleh begitu konsisten? Adakah dimensi saya sudah berubah?

Rasa ingin tahu membuatkan saya pergi ke sekolah merangkap pusat mengundi tersebut. Ketika membayar harga makanan dan minuman, saya dimaklumkan bahawa seseorang telah membayarkan makan minum setiap pengunjung-pengunjung warung seikhlas hati tanpa mahu dikenali.

Saya disambut petugas pilihan raya dengan senyuman manis. Tidaklah saya berbaris sepertimana orang lain. Saya maklumkan bahawa saya sekadar mahu menumpang tandas sekolah. Jalan raya masih sesak. Semangat para pengundi amat luar biasa.

Ketika membuang air kecil, terdengar suara dari kubikel bersebelahan. Mungkin orangnya tengah bercakap di telefon. Entahlah.

“Hari ini politik cuti sakit! Tapi ramai datang mengundi sebab ketiadaan parti politik juga suatu pilihan! Kau datang ke tak?”

Betul juga, ya?  Saya patut berbaris dan menurunkan undian, yakni pada ketiadaan. “Parti yang tidak ada” juga sejenis parti, bukan? Dengan semangat berkobar-kobar saya segera menyertai barisan selama sepuluh minit sebelum teringat bahawa saya belum mendaftar selaku pengundi lagi. Tidak pernah sama sekali. <END>


Pengarang :