NASIONAL

HDC yakin catat RM50 bilion eksport pada 2020

 

PETALING JAYA, 15 MAC: Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) yakin memenuhi sasaran mengutip RM50 bilion nilai eksport menjelang 2020.

Naib Presidennya Hanisofian Alias berkata, sasaran itu disokong menerusi peningkatan eksport dalam produk tambah nilai, dengan India sebagai negara tumpuan baharu.

“India yang berpotensi menjadi pasaran baharu, sedang memperluas pasaran halalnya sendiri, dan memerlukan produk sawit iaitu oleokimia,” katanya kepada pemberita semasa pelancaran Persidangan Halal Dunia 2019 hari ini.

Memandangkan inventori minyak sawit Malaysia kini tinggi, sebanyak 3.05 juta tan metrik, permintaan oleh India dapat membantu mengurangkannya, katanya.

“Sasaran untuk mencapai sasaran itu (nilai eksport bernilai RM50 bilion) sangat mencabar, memandangkan ketika ini minyak sawit berhadapan cabaran akibat sentimen negatif oleh EU (Kesatuan Eropah), selain saingan daripada minyak soya .

“Indonesia, negara pengeluar minyak sawit yang juga menghadapi tahap inventori yang lebih tinggi, mendorongnya menjual produk itu pada harga yang murah, sekali gus meletakkan minyak sawit pada kedudukan yang sukar,” katanya.

Sementara itu, Hanisofian berkata HDC akan menganjur Persidangan Halal Dunia ke-11 2019 (WHC 2019), yang dihoskan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dari 3 hingga 4 Apri depan.

Bertemakan ‘Membina Ekonomi Halal yang Kukuh: Integrasi Global dan Amalan Etika’, persidangan dua hari itu akan meneroka peluang dan cabaran yang dihadapi industri halal menerusi siri wacana bertujuan mengintegrasi kemajuan teknologi, tadbir urus etika dan pasaran pesat membangun.

Agensi di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi itu, mengumumkan jumlah nilai eksport halal bagi tahun lepas merosot 7.6 peratus kepada RM40 bilion daripada RM43 bilion yang dicatatkan pada 2017.

Hanisofian berkata, sektor halal mengalami kemerosotan eksport dalam semua kluster kecuali kosmetik dan penjagaan diri.

Secara keseluruhannya, pengurangan dalam eksport halal tahun lepas sebahagian besarnya disumbangkan oleh dua kelompok halal, iaitu penurunan 50 peratus minyak sawit daripada RM3.6 bilion tahun sebelumnya.

Sementara, penurunan bahan kimia industri sebanyak 36.7 peratus kepada RM357.77 juta pada 2018 daripada RM563.54 juta sebelumnya.

Pengimport utama produk halal Malaysia ialah Singapura dengan RM4.6 bilion diikuti oleh China (RM4.5 bilion), Jepun (RM2.5 bilion), AS (RM2.4 bilion) dan Indonesia (RM1.9 bilion).

– BERNAMA


Pengarang :