NASIONAL

Himpunan Solidariti: Wakil agama sampai mesej senada untuk kedamaian

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Wakil pelbagai agama di negara ini hari ini menyuarakan mesej senada dan jelas menolak sebarang bentuk kebencian dan menyuburkan keamanan, pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka di sini.

Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, peristiwa hitam yang berlaku di New Zealand perlu dijadikan iktibar bagi seluruh rakyat menentang sebarang bentuk kebencian dan menyuburkan kedamaian.

Katanya, kedamaian merupakan kunci kepada kebahagian dalam kehidupan.

“Kita ingin kedamaian, inilah diajar dalam al-Quran, kedamaian merupakan kunci kebahagiaan dan hanya akan dapat diterjemahkan melalui kesatuan, apabila hati kita saling meraikan dan memahami, bagaimana kita berinteraksi dengan seluruh masyarakat,” katanya.

Perhimpunan susulan tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lalu itu turut disertai ibu saudara Allahyarham Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang terbunuh dalam kejadian yang mengorbankan 50 orang itu, sebagai wakil keluarga mangsa kejadian itu.

Para peserta, kebanyakannya mengenakan baju berwarna putih tanpa mengira kaum dan agama berarak dari pusat beli-belah Sogo, pada jam 7.45 pagi dan tiba di Dataran Merdeka sekitar jam 8.10 pagi.

Sementara itu, wakil daripada Christian Federation of Malaysia, Julian Leow berkata, perhimpunan yang disertai pelbagai kaum dan agama itu menghantar mesej jelas kepada seluruh dunia bahawa rakyat Malaysia menolak keganasan serta kebencian.

“Hari ini kita beri mesej jelas kepada seluruh negara dan seluruh dunia bahawa rakyat Malaysia berikrar untuk mengukuhkan tali persaudaraan dan persamaan dalam sebuah negara yang harmoni dan bersatu padu.

“Kita rakyat Malaysia sepatutnya bukan sahaja bersatu kekalkan keharmonian sedia ada bahkan harus kuatkan dan eratkan lagi tali persahabatan antara kita semua dan pastikan kedamaian berada dalam negara yang kita cintai ini,” katanya.

Wakil daripada Malaysian Gurdwaras Council, Sardar Jagir Singh pula berkata, keharmonian dan keamanan yang telah wujud sejak sekian lama di negara ini harus dikekalkan buat selama-lamanya.

“Kami tolak keganasan dan kebencian, ingatlah bersatu kita teguh bercerai kita roboh,” katanya.

Wakil daripada Bahai Community of Malaysia, S Sanggita menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu padu dan menghapuskan segala prejudis antara agama dan bangsa.

“Sebagai sebuah negara, di Malaysia, kita berada dalam keadaan amat terkejut dan sukar untuk percaya betapa kejamnya perbuatan ini dan kehilangan begitu banyak nyawa yang tidak bersalah lapan hari lepas.

“Bagaimanapun, kita boleh menetapkan hasrat untuk membawa sinar harapan menerusi perkataan dan tindakan kita, dengan sama-sama berganding tangan, serta memperteguhkan dengan sepenuh hati persahabatan kita, seperti yang dapat disaksikan di Dataran Merdeka ini,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :