RENCANASELANGOR

Hitam putih kehidupan penghuni rumah warga emas

OLEH NAZLI IBRAHIM

Di sebalik kesuraman Pusat Penjagaan Mahmudah (PPM), Semenyih, tersimpan kemas seribu satu macam kisah lampau yang kekal tersemat dalam ingatan penghuninya.

Pelbagai ranjau dilalui, berliku, berwarna-warni, pahit dan manis kini semuanya menjadi sejarah yang tidak mampu dilupakan.

Selepas melalui kemuncak kehidupan, namun akhirnya di penghujung usia tiada siapa pernah menyangka akan menghabiskan sisa hidup tanpa kehadiran anak cucu di sisi.

Sejarah lampau penghuni ini bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada mereka sendiri, malahan turut berbekas di hati petugas PPM.

Mengimbas kembali pengalaman selama tiga tahun berkhidmat sebagai pengerusi rumah penjagaan itu, Ruslan Saidin menyifatkannya sebagai sesuatu yang menginsafkan.

Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan berlaku beberapa tahun lalu, apabila salah seorang warga emas yang dirujuk oleh sebuah hospital meminta beliau supaya menghantar ke rumah anak perempuannya.

“Paling menyedihkan apabila ada seorang warga emas yang dihantar ke sini meminta kami menghantarnya ke rumah anaknya tetapi apabila kami berbuat demikian, anaknya tak nak terima dia serta menantunya pun dia tidak kenal.

“Sehingga dia cakap kepada kami, dia tak nak tengok muka pakcik itu, mungkin disebabkan sesuatu dendam peristiwa lampau.

“Bila saya tanya, bagaimana dengan ayahnya, anaknya jawab terpulang pada enciklah, nak buang di mana-mana pun terpulang kepada encik,” katanya.

Katanya, peristiwa itu sangat memberi kesan di hatinya, malah ketika Aidilfitri, warga emas itu
masih meminta Ruslan menghantarnya pulang ke rumah anaknya.

Bagaimanapun, kejadian dihalau anaknya itu menyebabkan dia enggan menunaikan hasrat warga emas berkenaan.

“Anak dia tahu dia berada di sini tetapi tiada seorang pun yang datang menjengah bapanya dan ini menyedarkan saya bahawa anaknya masih membenci bapanya itu,” katanya.

Lebih menyedihkan katanya, warga emas itu akhirnya meninggal dunia tanpa sempat bertemu anaknya.

Tidak kurang juga dengan kisah seorang penghuni yang merupakan bekas ‘taiko’ besar di Chow Kit.

Melihat cacah di lengannya sahaja sudah cukup untuk membayangkan kehidupan lampau lelaki tua itu.

“Masa dia sihat dia berkuasa di tempat dia tetapi sekarang menghidap strok, tidak berdaya dan terpaksa meminta bantuan untuk bergerak,” katanya.

Selain itu terdapat juga beberapa penghuni yang menghuni PPM dengan rela hati atas pelbagai faktor antaranya seorang bekas profesor institusi pengajian tinggi awam kerana tidak lagi mempunyai waris untuk menjaganya.

“Profesor itu mempunyai dua orang anak dan isteri tetapi kesemuanya sudah meninggal dunia dan tak berapa lama menghuni di sini profesor itu juga mengikut orang yang disayangi itu,” katanya.

Bekas pelakon, Mazli Mohamad, 76, yang sempat ditemui SelangorKini pula menyifatkan pengalaman berlakon di samping seniman agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee adalah antara fasa terbaik dalam hidupnya.

Mengimbas kembali kisahnya sebagai anak wayang, Mazli berkata, antara filem yang pernah dilakonkan adalah seperti Enam Jahanam, Ibu Mertuaku, Panca Delima dan Hang Tuah.

“Pada tahun 1950-an, pakcik juga pernah bersama dengan Allahyarham A.R Tompel mengikut Bangsawan Tengku Mansor.

“Kerja pakcik masa tu jaga tirai dan kalau cerita itu ada ribut pula, pakciklah tukang goyangkan pokok dan lain-lain, kononnya tengah ributlah.

“Pakcik dibayar seringgit kadang-kadang 50 sen tetapi pada masa itu nilainya memang besar,” ceritanya sambil ketawa.

Apabila ditanya, peristiwa yang membawa beliau ke pusat penjagaan warga emas, Mazli berkata, dia sendiri memilih untuk tinggal di situ walaupun pada awaknya tidak mendapat persetujuan anaknya.

“Secara diam-diam pakcik sendiri yang datang untuk tinggal di sini dan apabila anak pakcik tahu, mereka datang ke sini tetapi pakcik rasa lebih elok pakcik tinggal di sini sahaja kerana tak nak membebankan mereka.

“Sampai sekarang anak pakcik tetap mengambil tahu, datang menjengah dan meraikan hari jadi pakcik di sini,” katanya sambil melirik senyuman.


Pengarang :