SELANGORSUKANKINI

Hunt Bike Kampung Tunku 2019 terima sambutan menggalakkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 MAC: Penganjuran Hunt Bike Kampung Tunku 2019 sejauh 15 kilometer yang berlangsung pada 10 Mac lalu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 128 peserta.

Kayuhan anjuran Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei, Ahli Majlis Zon MBPJ 20, Ong Yew Thai dan Komuniti Bersepadu United itu menyelusuri jalan di SS3, SS1, Kampung Baru Sungai Way (SS9A) dan Seksyen 22, Petaling Jaya.

Yi Wei berkata, program itu bertujuan memberi pengalaman kepada peserta melihat sendiri suasana di Kampung Tunku dengan menaiki basikal.

“Peserta dibahagikan melalui dua kategori iaitu berkumpulan seramai empat orang dan individu. Mereka yang tidak mempunyai basikal sendiri boleh menyewa basikal yang disediakan.

“Mereka diberi satu set soalan rumit untuk dijawab. Ketika tiba di ‘pit stop’, mereka akan merasai suasana dan persepktif berbeza berkenaan Kampung Tunku,” katanya.

Katanya, petunjuk untuk menjawab soalan adalah di lokasi penting Kampung Tunku seperti pasar pagi Seri Setia di Sungai Way, rumah ibadat, kedai dan restoran terkenal serta sekolah seperti Sekolah Kebangsaan Kampung Tunku dan Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman.

Pada masa sama, beliau turut berharap program itu dijadikan sebagai acara tahunan.

Semua peserta yang menamatkan kayuhan menerima pingat selain juara bagi setiap kategori.

 


Pengarang :