NASIONAL

Ibu saudara Haziq terharu sokongan rakyat Malaysia di Solidariti Kedamaian

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Waris keluarga Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang terkorban dalam tragedi tembakan di Christchurch, New Zealand, pada 15 Mac lepas, melahirkan rasa terharu akan sokongan diberi rakyat Malaysia semasa perhimpunan Solidariti Kedamaian.

Zarina Shuib , ibu saudara Muhammad Haziq, memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana berkesempatan menyertai rakyat Malaysia dalam perhimpunan itu di sini hari ini.

“Sesungguhnya ujian berat menimpa saudara kami di New Zealand yang mana adik kami (Mohd Tarmizi) cedera dan anak saudara kami (Muhammad Haziq) meninggalkan kami buat selama-lamanya akibat serangan berkenaan.

“Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang sudi menziarahi adinda kami di sana serta melihat dengan lebih dekat lagi keadaan di Christchurch,” katanya ketika berucap mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Haziq pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka di sini.

“Biarpun ujian berat ini diterima, namun kami ahli keluarga reda dengan pemergian Muhammad Haziq dan wajib menerima ketentuan-Nya.

“Kami akan menyokong usaha ini bagi menyatakan kebersamaaan masyarakat dan rakyat Malaysia agar keamanan dan kedamaian tanpa mengira agama, kaum dan bangsa,” katanya sambil menahan sebak ketika berucap mengenai anak saudaranya.

Zarina, yang merupakan kakak Mohd Tarmizi Shuib, berkata sesungguhnya sebagai rakyat Malaysia, beliau amat mencintakan kedamaian dan keamanan sejagat.

Pada Khamis lepas, Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa Muhammad Haziq ialah antara 50 mangsa yang terbunuh dalam tragedi penembakan di Christchurch.

Haziq ialah anak kedua Mohd Tarmizi , 42, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor.

Ketika kejadian Mohd Tarmizi bersama dua anaknya, Mohd Haris, 12, dan Haziq hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu. Mohd Haris terselamat tetapi trauma manakala bapa mereka parah ditembak.

Dua lagi rakyat Malaysia yang cedera ialah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :