TUMPAT, 27 Mac — Pengusaha ikan gelama Bekok, Rozlen Mahmud, 58, menunjukkan ikan gelama bekok yang digoreng untuk dijadikan menu istimewa di rumahnya di Kampung Kok Majid hari ini. Beliau merupakan pesara tentera kini menjadi pembekal ikan gelama bekok yang dijual secara kecil-kecilan di sekitar kawasan penempatannya. Kebiasaannya ikan gelama bekok itu dijemur selama tiga jam bagi mengelakkan ikan terlalu kering dan untuk mendapatkan kesedapan isi ikan. Dijual dengan harga sekitar RM40 hingga RM90 sekilogram mengikut gred, ikan gelama bekok buatan Rozlen sering mendapat pemintaan dari pelanggan. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
RENCANA

Ikan bekok pembuka selera masyarakat Kelantan

TUMPAT, 28 MAC: Budu, cencaluk dan ikan pekasam adalah antara makanan “pembuka selera” yang digemari masyarakat Melayu di Malaysia, namun tidak ramai yang tahu mengenai “ikan bekok”, yang juga dikategorikan sebagai pembuka selera popular terutama dalam kalangan masyarakat Kelantan.

Bekok adalah satu proses mengawet ikan yang diamalkan secara turun-temurun oleh penduduk Kelantan terutama yang tinggal di tebing Sungai Kelantan.

Ikan bekok biasanya dibuat daripada ikan gelama yang dipancing dari sungai itu.

Untuk menikmati kulinari tradisi Kelantan itu, ikan bekok gelama yang agak besar saiznya akan digoreng garing dan dicicah dengan hirisan bawang besar, cili padi dan cuka untuk dinikmati dengan nasi panas.

Pembuat ikan bekok, Hasmah Mamat, 60, dari Kampung Kok Majid di sini berkata beliau hanya membuat bekok daripada ikan gelama sungai yang dipancing oleh suaminya Rozlen Mahmud, 58, pesara tentera di muara sungai Kelantan yang airnya payau.

“Untuk membuat bekok, ikan yang sudah disiang dan dibersihkan, direndam dalam air garam bersama cuka selama 30 minit atau dilumur dengan garam secukupnya sebelum dijemur seharian. Ini bagi menimbulkan rasa masin, lemak dan masam yang seimbang,” katanya kepada Bernama ketika ditanya tentang resipi membuat ikan gelama bekok.

“Biasanya bekok dijual pada harga antara RM40 hingga RM80 sekilogram dan bagi ikan gred A ia boleh mencapai sehingga RM90 sekilogram,” katanya sambil menambah harga bekok lebih tinggi daripada ikan masin biasa dan ikan segar yang lain.

Seperti ikan masin, gelama bekok boleh tahan lama dan tidak mudah rosak jika betul cara ia disimpan.

Rozlen berkata, ikan gelama sungai atau gelama bengkok lebih sedap berbanding gelama batu dan gelama batang yang banyak terdapat di perairan negara.

Tinjauan Bernama di Sungai Kelantan baru-baru ini mendapati lebih 50 bot berlabuh di Sungai Kelantan untuk memancing ikan gelama sungai. Ada juga pegawai kerajaan menghabiskan cuti dengan aktiviti memancing ikan gelama.

Kebanyakan mereka memakai topi untuk berlindung daripada panas matahari semasa memancing. Pada waktu malam, lampu dari bot nelayan berkelipan menandakan aktiviti memancing sedang berlangsung di situ. Suasana meriah itu boleh dilihat antara bulan Februari hingga Oktober setiap tahun.

Seorang lagi pemancing dan pengusaha ikan bekok sambilan Rosli Ahmad, 45, yang juga ditemui semasa memancing di Sungai Kelantan berkata aktiviti memancing dan menyiang ikan untuk dibuat bekok memberikan ketenangan kepadanya selepas berdepan dengan tugas hakiki sebagai penjawat awam.

Anak kelahiran Tumpat yang sedang bercuti itu berkata beliau lebih gembira menghabiskan tiga minggu cuti dengan memancing ikan gelama sungai serta menolong isteri membuat bekok dan kemudiannya diagih kepada rakan untuk simpanan bagi juadah pada bulan puasa yang akan disambut tidak lama lagi.
-BERNAMA


Pengarang :