Indeks kos sara hidup baharu jamin kesejahteraan rakyat | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Indeks kos sara hidup baharu jamin kesejahteraan rakyat

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yakin indeks mengukur kos sara hidup dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat terutama dalam konteks harga barang.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kadar Indeks Harga Pengguna (IHP) yang diguna pakai sekarang dilihat tidak menggambarkan kedudukan sebenar kos sara hidup terutama bagi harga barang.

Beliau berkata, indeks baharu yang akan diperkenalkan itu dapat memberi jaminan dan mengenal pasti ukuran bacaan yang lebih tepat mengenai keadaan sebenar harga barang dan kos hidup.


“Selama ini, kita (kerajaan) bergantung kepada IHP atau indeks inflasi, contohnya IHP atau indeks inflasi itu memang rendah, tetapi di satu sisi (walaupun) rendahnya indeks itu, ia tidak dirasai dalam bentuk kehidupan sebenar rakyat di bawah.

“Maka, kami (kerajaan) merasakan indeks baharu ini adalah satu keperluan untuk dijadikan sebagai garis panduan yang dapat menggambarkan realiti sebenar yang berlaku,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 kementeriannya, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, antara agensi yang terlibat dalam melaksanakan indeks itu ialah Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan mencadangkan satu indeks pengukur kos sara hidup bagi menentukan kenaikan gaji lebih munasabah.

Guan Eng dilapor berkata, kaedah pengukuran IHP yang diguna pakai pada masa ini tidak mencukupi untuk menentukan kenaikan gaji sebenar yang diperlukan rakyat.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next