SUKANKINI

India musnah hasrat Malaysia kekal kemenangan 100 peratus

IPOH, 26 MAC: Impian Malaysia untuk mengekalkan kemenangan 100 peratus dan terus menghuni tangga teratas carta Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28 lebur apabila tewas 2-4 kepada India, malam ini.

Beraksi di hadapan lebih 3,000 penyokong sendiri di Stadium Azlan Shah di sini, Malaysia terlebih dahulu menguji gawang gol lawan pada minit kesembilan namun percubaan Razie Rahim melalui pukulan sudut penalti digagalkan penjaga gol India, Krishnan Pathak

Walaupun melancarkan serangan bertali arus ke kubu gol India, skuad Speedy Tigers terlebih dahulu dikejutkan pada minit ke-17, melalui gol padang yang dijaringkan oleh Sumit.

Jaringan berkenaan bagaimanapun tidak kekal lama apabila Razie menyamakan kedudukan buat Malaysia melalui rembatan kencang hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-21.

India yang menduduki ranking kelima dunia sekali lagi mendahului skuad negara pada minit ke-27, kali ini giliran Sumit Kumar pula mencatat nama selaku penjaring kedua menerusi gol padang.

Jaringan itu nyata membangkitkan semangat pasukan India dan hasilnya pada minit ke-36, Varun Kumar menjaringkan gol ketiga untuk pasukannya melalui pukulan sudut penalti.

Usaha Malaysia untuk merapatkan kedudukan berhasil pada minit ke-57, apabila Tengku Ahmad Tajuddin berjaya menguis masuk hasil situasi kelam-kabut di depan gawang gol India.

Gol berkenaan tidak menggugat semangat juang India apabila Mandeep Singh menyumbang gol keempat pasukan dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Pada sidang media selepas perlawanan, jurulatih Malaysia, Roelant Oltmans berkata kekalahan malam ini berpunca daripada kegagalan pemain menyempurnakan beberapa peluang termasuk pukulan sudut penalti.

“Kita dapat sembilan pukulan sudut penalti tetapi hanya satu yang berjaya disempurnakan. Mungkin kalau 50 peratus berjaya disudahkan (pukulan sudut penalti), keputusan akan berubah,” katanya.

Bagaimanapun beliau memuji semangat kental yang dipamerkan anak buahnya dalam menyaingi kepantasan permainan pasukan India.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :