SELANGOR

INSANI fokus bantu kanak-kanak autisme di Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 MAC: Terapi dan pusat penjagaan khas kepada kanak-kanak autisme dari keluarga kurang berkemampuan menjadi fokus utama Persatuan Inisiatif Sokongan Autisme Nouri Berhad (INSANI).

Pengarah Eksekutifnya, Al- Mustaqeem M. Radhi berkata, usaha itu dibuat melalui penubuhan dua Akademi Austime INSANI, di Bandar Baru Selayang yang menempatkan hampir 50 kanak-kanak.

“Akademi ini menawarkan dua program iaitu Early Intervention Program (EIP) untuk kanak-kanak di bawah umur sembilan tahun dan program Pra-Vokasional untuk kanak-kanak berusia sembilan tahun ke atas dan remaja.

“Sokongan berterusan diperlukan buat keluarga kanak-kanak ini memandangkan mereka menanggung beban kos penjagaan serta terapi yang terlalu tinggi, malah ada ibu bapa yang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak autisme,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Jamuan Amal Austisme INSANI 2019 di Wisma PKPS, di sini, semalam.

Hadir sama, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud dan hampir 50 ahli keluarga kanak-kanak autisme.

Al-Mustaqeem berkata, jamuan amal kali kedua itu menyasarkan kutipan dana RM100,000 bagi gerak kerja membantu anak austisme.

Katanya, ia selaras misi INSANI bagi menyediakan peluang pendidikan dan latihan bermutu tinggi untuk kanak-kanak dan remaja autisme, sejak penubuhannya pada 2012.

“Misi kami ialah mahu menjalankan penyelidikan berkaitan autisme melalui pembentukan jaringan dengan pakar dan pertubuhan dalam dan luar negara.

“Pada masa sama, melalui dana ini, ia membantu pihak kami menjalankan program peningkatan kesedaran masyarakat berkenaan autisme,” katanya.

 


Pengarang :