SELANGOR

IR 4.0: Selangor dijangka kekal peneraju di Asia Tenggara

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 13 MAC: Selangor dijangka kekal menerajui rantau Asia Tenggara dalam kajian dan penerokaan Industri Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) melalui Malaysia Smart Factory (MSF) yang dilancarkan, pada September lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, langkah memperkembangkan MSF akan diperhalusi bahagian Pendidikan dan Pengurusan Sumber Manusia Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Saya sedang fikir untuk kembangkan kerana inilah antara pintu masuk ke Asia Tenggara yang kita impikan bukan sahaja dalam aspek ekonomi atau pelaburan tetapi dalam sektor perkhidmatan seperti pendidikan dan penyediaan terhadap persediaan IR 4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 dan Meraikan Pesara di 2019 Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di Dewan Sivik MBPJ di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Amirudin berkata, lawatannya ke Swiss Smart Factory (SSF), di Switzerland baru-baru ini memberi peluang kepadanya meninjau sendiri kaedah yang dibangunkan, di makmal berkenaan.

Katanya, SSF yang dibuka pada 2017 adalah institut pertama di dunia yang menjalankan kajian serta menyediakan asas penting untuk mengharungi cabaran IR 4.0.

“Kita memang sudah ada kerjasama MSF dengan SSF yang dilancarkan September tahun lalu, yang juga maklmal IR4.0 pertama, di Asia Tenggara.

“Hanya pada tahun ini barulah SSF akan dibuka di Korea, Jepun dan Indonesia, sebab itu saya lawat SSF dengan harapan kita dapat kembangkan lagi makmal itu supaya Selangor tetap menjadi peneraju kepada pengkajian IR4.0 pada masa hadapan,” katanya.


Pengarang :