NASIONAL

Isteri, dua anak lelaki bekas CEO Cradle Fund bakal dituduh di mahkamah

SHAH ALAM, 4 MAC: Isteri kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Allahyarham Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini berhubung kes pembunuhan suaminya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat, berkata, turut didakwa berhubung kes itu adalah dua anak lelakinya berusia 15 dan 17 tahun serta seorang lagi masih bebas pada jam 2.00 petang ini.

“Pihak Jabatan Peguam Negara mengeluarkan arahan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan terhadap mereka.

“Tiga individu itu ditahan di kediaman mereka pada jam 6.45 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilapor berkata, bahawa polis telah menyerahkan laporan siasatan hasil bedah siasat kedua Nazrin kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 22 Februari lalu.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober tahun lalu membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kematiannya itu.

Pada 3 Ogos tahun lalu, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun tahun lalu yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca daripada letupan telefon bimbitnya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :