NASIONAL

Isu RM90 juta: SPRM hantar kertas siasatan selewatnya minggu hadapan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menghantar hasil siasatan berhubung dakwaan PAS menerima dana RM90 juta daripada UMNO kepada pihak pendakwa raya selewat-lewatnya minggu hadapan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan dan pihak pendakwa raya akan menentukan tindakan selanjutnya.

“Saya sudah berbincang dengan pegawai penyiasat dan laporan yang saya diterima kes ini berada di peringkat akhir siasatan. Kita ada buka beberapa kertas siasatan tetapi beberapa kertas siasatan akan dikemukakan kepada pendakwa raya.

“Saya telah mengarahkan pegawai penyiasat, paling lewat minggu hadapan kemukakan kepada timbalan pendakwa raya untuk dibincangkan dan mendapat sebarang arahan berhubung kes berkenaan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes membabitkan parti PAS pada Majlis Perasmian Kompleks Bangunan Baharu SPRM Negeri Selangor di Seksyen 16, di sini.

Ketika ditanya sama ada SPRM akan memanggil beberapa pemimpin PAS lain, Azam berkata, beliau enggan membuat sebarang spekulasi mengenainya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull dalam kenyataan pada 24 Februari lalu di Kuala Terengganu mengesahkan SPRM tidak mengesan sebarang transaksi dana RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan ke akaun bank rasmi PAS.

“Siasatan SPRM setakat ini memang tak ada dana RM90 juta yang dikatakan wang 1MDB dimasukkan ke dalam akaun (bank) PAS,” katanya.


Pengarang :