SELANGOR

Jabatan Kesihatan Selangor rampas produk kosmetik RM6.2 juta

SHAH ALAM, 27 MAC: Jabatan Kesihatan Selangor berjaya merampas pelbagai produk kosmetik yang tidak didaftarkan dianggarkan bernilai RM6.2 juta dalam satu serbuan di sebuah gudang, di Klang, dekat sini kelmarin.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, serbuan di sebuah gudang yang menyediakan khidmat logistik di Taman Perindustrian Air Hitam, pada 11 pagi Isnin itu dijalankan oleh enam orang pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Selangor selepas mendapat aduan orang awam.

“Dalam serbuan ini, sebanyak 28 jenis produk kosmetik yang diimport dari negara jiran dan tidak bernotifikasi dianggarkan bernilai RM6.2 juta tdirampas.

“Penjualan produk tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, orang awam dinasihatkan tidak menggunakan produk tidak berdaftar atau kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan.

“Orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk atau notifikasi kosmetik menerusi laman npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400, orang ramai juga digalakkan mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkaitan produk meragukan sebagai usaha bersama kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan,” katanya.

Katanya, aduan dan maklumat turut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi KKM melalui www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di laman moh.spab.gov.my. -BERNAMA


Pengarang :