SELANGOR

Jalan Meru ibarat tampalan kosmetik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 MAC : Kerja baik pulih yang dijalankan pihak bertanggungjawab di Jalan Meru ibarat menampal kosmetik di wajah, kata Ahli Dewan Negeri Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

Katanya, orang ramai mengadu berikutan jalan yang dibaiki kembali rosak dalam tempoh kurang seminggu.

“Kerana itulah kita panggil ia ibarat ditampal kosmetik, sekejap saja sudah kembali rosak kerana Jalan Meru dipenuhi dengan lori-lori dari kawasan industri.

“Saya cadangkan sepatutnya jalan berkenaan dinaiktaraf bukan sekadar ditampal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fakhrulrazi berkata, beliau tidak pernah menghalang pembangunan di Meru, namun sepatutnya kemajuan berkenaan perlu seiring.

“Jika dilihat sekarang, jalan di situ masih lagi seperti jalan kampung walaupun Meru semakin maju, ini dapat dirumuskan bahawa pembangunan tidak seiring dengan kemajuan infrastruktur,” katanya.


Pengarang :