NASIONAL

Jangan benarkan ‘individu’ cemar imej negara kembali mentadbir

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEMENYIH, 1 MAC: Rakyat diingatkan supaya tidak sesekali membenarkan ‘individu’ yang pernah mencemarkan imej negara sehingga ke peringkat dunia kembali mengambil alih pucuk kepimpinan negara.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, hal itu ekoran banyak skandal membabitkan kerajaan sebelum ini yang memberi kesan buruk terhadap rakyat berjaya dibongkarkan sejak Pakatan Harapan (PAKATAN) menerajui negara.

“Jangan benarkan mereka yang pernah malukan kita semua di peringkat dunia kembali memimpin negara.

“Banyak skandal kita berjaya bongkar, tetapi saya tidak mahu sebutkan kerana kita kini sedang menumpukan usaha untuk memulihkan kembali negara,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PAKATAN), di Perkarangan Tesco Semenyih, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan bahawa kerajaan PAKATAN akan terus berusaha melaksanakan segala janji ditetapkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Bagaimanapun katanya, demi kebaikan rakyat, ia diakui mengambil sedikit masa kerana kerajaan terpaksa bergelut dengan kekangan kewangan berpunca daripada kerajaan terdahulu.

“Wangnya masih ada jika tidak ditelan oleh Jhow Low atau ‘Bossku’ (Datuk Seri Najib Razak). Kalau bukan mereka, kita sudah dapat capai tetapi kerana wang sudah tiada kita kena buat secara berperingkat.

“Pengumuman Perdana Menteri (Tun M) tentang pemansuhan empat tol di lebuh raya utama dalam negara ini juga antara usaha yang dijalankan oleh kerajaan supaya kita dapat meringankan beban rakyat.

“Walaupun ini bukanlah pemansuhan secara keseluruhan, tapi sekurang-kurangnya lebih baik daripada dahulu iaitu satu penambahbaikan kalau dibandingkan kerajaan lama. Kita harap rakyat boleh faham kita dan itulah sebabnya kita kena ambil masa,” katanya.

 


Pengarang :