NASIONALRENCANA

Jangan biar bencana Sungai Kim Kim berulang

JOHOR BAHRU, 23 MAC: Empat puluh enam lokasi! Sudah semestinya angka ini memeranjatkan kerana lokasi yang dikenalpasti itu berpotensi menjadi tempat pencemaran di sekitar Pasir Gudang.

Pendedahan tersebut dibuat oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin pada Rabu, 20 Mac.
Beliau menyatakan, ia adalah hasil kajian Jawatankuasa Saintifik yang menggunakan data imej satelit ke atas keseluruhan kawasan Pasir Gudang.

Nama Pasir Gudang sudah tentunya menjadi perbualan hangat sejak lebih dua minggu lalu akibat pencemaran Sungai Kim Kim yang terletak di kawasan perindustrian tersebut akibat pembuangan sisa toksik.

Jelas apa yang berlaku bukan berkaitan Sungai Kim Kim lagi tetapi sebenarnya realiti yang terpaksa dihadapi penduduk Pasir Gudang sejak sekian lama. Realiti hidup dalam kawasan perindustrian yang mempunyai aktiviti perindustrian yang tinggi termasuk 252 kilang yang dipercayai memproses bahan kimia dan berdepan dengan aktiviti pembuangan secara haram setiap hari.

Penduduk di Taman Tanjung Puteri Resort, sebagai contoh, mendakwa membuat laporan kepada pihak penguatkuasa setiap tahun, tetapi tiada tindakan susulan menyebabkan mereka terpaksa menghadapi bau busuk Sungai Selangkah, anak Sungai Kim Kim setiap hari sejak 2011.

Jadi bila Yeo mengumumkan akan memperkasakan jentera penguatkuasaan di bawah MESTECC, ia menggambarkan salah satu komitmen terbaik kerajaan bagi menangani masalah pembuangan haram bukan sahaja di kawasan industri berkenaan tetapi juga di seluruh negara.

Selain itu, kajian semula atau pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu ditambah dengan hukuman yang lebih berat supaya tidak ada siapa yang berani untuk melakukan kesalahan yang bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar tetapi juga manusia dan hidupan lain.

Jangan lagi kita ambil mudah untuk pesalah alam sekitar, kalau boleh kuatkuasakan hukuman yang tidak mampu dibayar atau diperkecilkan oleh mereka ini.

Pengajaran kedua dari episod malang ini ialah pengurusan krisis, yang sepatutnya ditangani sejak awal.

Sepanjang lima tahun saya bertugas di Johor, saya melalui dua krisis atau kejadian besar iaitu kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 2016 dan kemalangan bas ekspres di Pagoh yang mengorbankan 14 nyawa, juga pada tahun yang sama.

Bila berita pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim tersebar pada 7 Mac, semua tidak menyangka termasuk saya ia akan menjadi satu “bencana” yang begitu besar impaknya.

Hakikatnya, ia memberi tamparan hebat kepada semua pihak memandangkan kita berdepan dengan pencemaran “yang tidak nampak dengan mata kasar” tetapi memberi kesan teruk kepada ribuan orang, sama ada dari segi kesihatan, emosi dan psikologi.

Apabila berlaku “Gejala Kim Kim” di depan mata saya, ia mengingatkan saya kepada kejadian histeria di sekolah dahulu yang “menjangkiti” semua orang tanpa mengira umur, darjah dan keturunan.

Sesungguhnya bencana Sungai Kim Kim adalah ujian besar dan pertama bagi kerajaan Johor, yang berjaya mengatasinya dengan semangat kerjasama berpasukan serta menggunakan kepakaran anak tempatan.

Apa yang menyerlah, ialah kepimpinan Yeo dalam krisis ini, terutama bila krisis ini sedikit sebanyak menunjukkan kepakarannya dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan bagaimana beliau bersama yang lain menggembleng usaha mengumpulkan pakar-pakar dari universiti tempatan untuk membentuk Jawatankuasa Saintifik.

Sudah tentu keyakinan rakyat bertambah bila komitmen untuk membersihkan sungai berjaya dilaksanakan dalam tempoh lima hari sahaja dan Sungai Kim Kim dilaporkan kembali bersih dan selamat.

Selain itu, usaha gigih pasukan perubatan, pasukan keselamatan, sukarelawan dan rakan media perlu dipuji kerana menjadi “barisan depan” yang berjaya sehingga ada yang jatuh sakit demi menjalankan tugas hakiki.

Pastinya, banyak perkara yang perlu dipelajari oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mengenai prosedur operasi standard (SOP) pengurusan krisis, apatah lagi bila berdepan dengan perkara baharu seperti pencemaran kimia ini.

Satu kelemahan utama ialah, selain laporan media massa, orang ramai sukar mendapat akses kepada maklumat terkini sehinggakan terlalu banyak khabar angin yang harus ditangani pihak berkuasa. Keadaan ini sehingga menjejaskan kerja sebenar iaitu mengatasi krisis itu sendiri.

Akibatnya, penumpuan pihak berkuasa sedikit terjejas berikutan terpaksa menangani ramai mangsa yang apabila 70-90 peratus kes dirujuk di Medic Base lebih kepada serangan panik berikutan terlalu banyak berita tidak benar.

Saya bersetuju dengan saranan Jawatankuasa Saintifik Bencana yang diketuai Dekan Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff mengenai perlunya mewujudkan SOP Bencana Pencemaran Kimia supaya boleh menjadi rujukan di kemudian hari.

Dengan adanya SOP seperti ini, ia diharapkan dapat membantu pihak berkuasa mengurangkan kepincangan yang dikenalpasti terutama dari pengalaman bencana Sungai Kim Kim ini pada masa hadapan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :