BERITA UTAMASELANGOR

Jangan bina rumah atas rizab sungai, jalan – Azmin

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 29 MAC: Penduduk yang menetap di atas rizab sungai dan jalan sekitar Gombak Utara dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang binaan serta segera berpindah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian serius dan akan memanjangkannya kepada pegawai daerah serta Ahli Dewan Negeri.

Katanya, kerajaan turut memiliki perancangan untuk melebarkan jalan dan mendalamkan sungai bagi keselesaan orang ramai, pada masa akan datang.

“Tambah mengecewakan apabila ada individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menyewakan rumah terbabit pada kadar agak tinggi sehingga RM500 sebulan kepada orang lain.

“Kita bimbang jika binaan secara haram ini tidak diuruskan dengan baik, ia akan memberi kesan lebih parah kepada kampung dan alam sekitar,” katanya kepada media selepas menziarahi mangsa ribut di Dewan Serbaguna JAKOA Batu 12, di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan Pegawai Daerah Gombak, Dato Amirul Azizan.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, pihaknya bersedia memindahkan penduduk tidak berkemampuan yang menetap di tanah rizab terbabit ke lokasi lain.

Katanya, beliau akan menghubungi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor bagi membantu penduduk berkenaan.

“Kita akan cuba menempatkan mereka di rumah berdekatan kawasan kampung memandangkan kita tidak mahu menggangu urusan harian seperti menghantar anak-anak ke sekolah dan sebagainya.

“Perkara ini masih dalam peringkat pertimbangan dan akan dibuat secara berperingkat,” katanya.


Pengarang :