SELANGOR

JAS tingkat rondaan, pantau pembakaran terbuka

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 20 MAC: Jabatan Alam Sekitar (JAS) meningkatkan bilangan rondaan dan pemantauan terhadap kawasan berisiko berlaku pembakaran terbuka, khususnya di Johan Setia dan Banting, kata Hee Loy Sian.

EXCO Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi & Hal Ehwal Pengguna itu berkata, pihak terbabit turut menjalankan waktu bekerja di luar waktu berperingkat iaitu dari 2 petang hingga 11 malam bagi membolehkan rondaan pemantauan aktiviti pembakaran terbuka dijalankan.

“Kita bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengawal kes kebakaran yang berlaku, selain meningkatkan penggunaan drone dalam memantau kejadian kebakaran terbuka.

“Selain itu, kita memantau bacaan dan tren Indeks Pencemar Udara (IPU) stesen pengawasan udara dari semasa ke semasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Peningkatan Indeks Pencemar Udara (IPU) Ke Tahap Tidak Sihat Di Stesen Pemantauan Kualiti Udara JAS Iaitu Banting, di Dewan Annex, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah JAS Selangor, Shafee Yasir.

Terdahulu, JAS mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Tetap Operasi (SOP), Program Pencegahan Kebakaran di Tanah Gambut, mulai 10 Januari lalu.

Manakala Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka bagi Johan Setia pula diaktifkan pada 15 Januari lalu sebagai usaha mencegah dan menangani isu pembakaran terbuka.

Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai supaya tidak membiarkan tanah atau premis kepunyaan dimasuki dan dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka di tanah bagi tujuan tertentu.

“Tindakan undang-undang boleh dikenakan di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kompaun maksimum RM2,000 boleh dikenakan ke atas setiap kesalahan,” katanya.

Justeru, orang awam yang mahu menyalurkan maklumat berkaitan pembakaran terbuka boleh menghubungi JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau Ibu Pejabat JAS Malaysia di talian 03-8871-2000 serta Bilik Kawalan JAS Selangor di 03-5519-7233.


Pengarang :