Jawatankuasa rangka SOP bencana pencemaran kimia akan ditubuhkan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Jawatankuasa rangka SOP bencana pencemaran kimia akan ditubuhkan

JOHOR BAHRU, 31 MAC: Jawatankuasa Pengurusan Sisa Toksik Buangan Berjadual Kebangsaan akan diwujudkan dalam usaha kerajaan merangka satu prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani bencana pencemaran kimia.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim berkata, setakat ini, penubuhan jawatankuasa yang akan bertanggungjawab dalam merangka SOP berkenaan, kini berada dalam peringkat draf sebelum dibawa kepada Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk dimuktamadkan.

“Antara fungsinya adalah untuk buat keputusan apa jua isu berkaitan dengan pengurusan sisa toksik di masa akan datang. Itu yang paling utama, supaya kita ada satu platform paling tertinggi yang boleh membuat keputusan dan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih, di sini hari ini, ketika diminta mengulas mengenai cadangan mewujudkan SOP berkenaan.

Turut hadir, Pengarah JAS Johor Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh.

Ahmad Kamarulnajuib buat masa ini, pihaknya hanya ditugaskan untuk menyiapkan draf penubuhan jawatankuasa itu dan akan menyerahkan kepada MESTECC untuk membuat keputusan selanjutnya.

Sementara itu, beliau berkata pemantauan kualiti udara yang dilakukan pihaknya di 20 buah sekolah yang berada dalam jarak 15 kilometer daripada punca kejadian (Sungai Kim Kim) adalah baik.

“JAS akan terus melaksanakan pemantauan kualiti udara secara berterusan di kawasan terjejas bagi memastikan kualiti udara adalah baik bagi penduduk serta murid-murid di sekolah berhampiran. Ia juga bertujuan memastikan kejadian pelepasan bahan toksik tidak berulang,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai aduan pencemaran Sungai Selangkah yang dibuat orang ramai terhadap JAS, Mohammad Ezanni berkata terdapat kira-kira 20 hingga 30 kilang dikenalpasti berkemungkinan terlibat dalam kes pembuangan sisa toksik di sungai berkenaan.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengesan kilang yang terlibat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next