SELANGOR

Jelajah Pendidikan Selangor buka ruang pelajar pilih destinasi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 MAC: Jelajah Pendidikan Selangor (JPS) 2019 membuka ruang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) memilih destinasi melanjutkan pelajaran.

Pengerusinya, Prof Dr Azali Mohamad berkata, program berkenaan juga adalah ‘one stop centre’ untuk pelajar dan ibu bapa meneliti serta memilih institusi terbaik dalam merealisasikan masa depan yang lebih terjamin.

“Ibu bapa dan pelajar yang hadir diberi peluang menyaksikan sendiri pameran pendidikan tinggi daripada pelbagai institusi awam dan swasta.

“Mereka juga berpeluang peluang mendapatkan biasiswa dan bantuan kewangan dikhususkan kepada anak Selangor.

“Pelbagai agensi kerajaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional dan Yayasan Selangor turut serta dalam jelajah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran program Jelajah Pendidikan Selangor 2019, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Dr Azali berkata, terdapat empat siri jelajah berkenaan akan diadakan bermula Mac hingga April di empat zon iaitu Utama, Utara, Tengah dan Selatan.

Selain pameran daripada institusi pengajian, turut diadakan ceramah motivasi daripada pakar motivasi, Omar Stirling; Angkawasan Negara, Dato’ Sheikh Muszaphar Shukor dan Selebriti Pendidikan, Caprice Ariz.

Difahamkan, lebih 1,000 pelajar turut mendaftar pada siri JPS itu melalui atas talian.

Dengan kempen tanda pagar #Jomkemenaragading pelajar hanya perlu membawa salinan kad pengenalan pemohon serta ibu bapa, salinan keputusan peperiksaan, salinan sijil kelahiran pemohonan, salinan penyata gaji serta pengesahan pendapatan selain sijil kelulusan berkaitan.

 


Pengarang :