SASTERA

Jerat Muslihat

Oleh Abizai

LANGIT temaram. Di celah awan, bulan tergantung suram. Cerminan hatinya kepupusan tenteram. Basri masih di beranda, mendongak ke langit mega untuk mencari ketenangan yang tersisa. Namun semua itu sia-sia. Angin resah mendakapnya semakin ramah. Amanat mursyid perlu dilaksanakan walaupun hakikatnya terlalu payah. Dia umpama mendaki gunung yang curam tanpa tali. Dia laksana terapung di laut dalam tanpa pelampung. Basri tidak sanggup menjadi murid derhaka yang membela ingkar di sangkar diri. Siapakah yang mampu membantu meleraikan selirat di banir fikir? Mungkin sahaja Helmi dan Syukri sudah memperoleh ilham dan sudi berkongsi.

“Kalian harus melakukannya esok hari, tanpa boleh ditangguh lagi.” Khali setagal sebelum mursyid kembali menyambung, “Lusa, selepas zohor datang ke sini. Saya mahu tahu hasilnya.” Dia tegas mengingatkan.

Basri hanya mengangguk-angguKkan kepala biarpun kalbu ditumbuhi lumut keliru. Wajah mursyid yang sentiasa tenang, dihiasi janggut putih itu disorotinya. Helmi dan Syukri di sebelah pula dilihatnya tersenyum, berbunga mekar keyakinan.

Dingin pagi yang dibasahi embun menjadi saksi langkahan kaki Basri yang mula menapak untuk menyelesaikan tugasan. Pisau telah diasah tajam. Sebiji raga dengan isinya telah sedia untuk dibawa. Pesanan mursyid terngiang dan kembali bertandang.

​“Ini merupakan ujian. Antara amanah dengan keyakinan.”

Basri hanya mampu mengetap bibir. Dahinya berkerut – citra wajah yang kian keliru. Namun dapatkah dia menunaikan amanah seperti yang sepatutnya? Persoalan itu kian tajam menyucuk-nyuncuk kewarasannya. Ya, semua perlu dilakukan tanpa melanggar syarat yang telah ditetapkan!

Sampai di hujung simpang, langkah kakinya terhenti. Langkahan kakinya memberat tetapi tidak seberat bebanan dalam jiwa.

“Ke manakah wajar aku pergi tanpa ada siapa pun melihat perbuatanku? Perlukan aku menembus rimba pekat untuk melaksanakan amanat? Atau menunggu lewat malam menjenguk, ketika seluruh makhluk terlena oleh pukauan kantuk?” Basri bergumam keliru. Pertanyaan tanpa jawapan bertubi-tubi menerjah fikirannya. Langkah diteruskan. Di bawah sedar, kakinya menapak ke hujung kampung yang bersempadan dengan hutan.

Aroma segar kehijauan alam semakin kuat terasa ketika dia masuk ke tengah jantung belantara. Kicau burung dan jeritan lotong pun bertambah meriah. Ada sesuatu yang sukar untuk ditebaktafsirkan. Di bawah pohon beringin yang agak rimbun, dia berhenti. Pisau dikeluarkan. Basri bersedia mendepani segala cabaran yang menerjang. Direnungnya isi di dalam raga yang dibawa sejak tadi. Peluh dingin tiba-tiba membasahi belakang tubuh. Tangannya bergetar. Hatinya berdebar. Terasa ada yang memerhatikannya.

“Kamu semua mesti melakukannya tanpa ada sesiapa pun yang menyaksikan. Jika tidak, kamu akan dianggap gagal dalam ujian ini.” Amanat itu persis belati yang merapat ke rengkungnya.

Bicara mursyid kembali bertenggek di dahan ingatan. Hatinya semakin dipulas cemas. Hatinya menjadi kian was-was. Pandangan matanya berkeliaran liar ke arah daun-daun dan dahan-dahan yang bergoyang ditiup angin. Basri terasa diperhatikan. Kerling matanya menangkap kelibat orang di celah batang-batang pohon yang merapat seperti menghimpit perasaannya. Hatinya semakin berdegup laju.

Wajah ceria Helmi dengan peluh yang merenik muncul. Basri menjeling ke arah raga yang dipegang oleh Helmi. Tahulah dia, Roslan telah berjaya. Tidak seperti dirinya yang masih dibelenggu ragu dan keliru. Dia masih dibelasah resah.

“Mengapa kau masih belum lagi melaksanakan perintah mursyid? Aku sudah.” Terbentang riak kepuasan pada wajah bujur putih kuning Helmi.

​“Selepas subuh tadi lagi aku dan Syukri sudah bergerak. Sampai di tengah hutan ini kami berpecah. Aku menuju ke gua. Syukri ke arah sungai. Selepas melaksanakan tugas tadi, aku ada bertemu Syukri di tepi sungai. Dia pun telah berjaya.”

Helmi terus menjalarkan ceritanya persis akar yang membelit jiwa Basri sebelum berlalu dalam senyuman. Basri mengambil keputusan untuk pulang ke rumah sahaja. Tengah malam nanti dia akan memikirkan sesuatu, hatinya berbisik memujuk rajuk yang mengacah.

Tepat pada titik detik tengah malam, Basri menutup rapat kamar tidurnya. Lantai bilik telah dilapikkan dengan surat khabar lama. Pisau sigap di tangan. Isi raga yang dibawa ke dalam hutan siang tadi, dikeluarkan. Manusia lain tentu sudah lama terlena di peraduan, dibelai mimpi, fikirnya. Namun keyakinan Basri masih tumpul untuk menumpahkan darah. Ada sesuatu yang menghalangnya.

“Sudahkan kamu bertiga menjalankan amanat?” Suara musryid kedengaran tegas sekali.

Basri, Helmi dan Syukri duduk bersila di hadapannya. Helmi dan Syukri menyunggingkan senyuman lebar. Basri hanya menundukkan kepala. Tidak berani menatap anak mata mursyid. Terasa dirinya amat kerdil sekali seperti seekor semut di hadapan gajah yang gagah.

“Sudah tuan guru. Saya berjaya melakukannya di dalam gua, di tengah hutan. Tiada siapa di sana ketika itu.” Helmi melaporkan kejayaannya.

Mursyid diam. Riak wajah tetap tenang seperti selalu biarpun nada suaranya sebelum ini tegas.

“Kamu pula Syukri, bagaimana?”

“Saya juga berjaya. Di tepi sungai, darah telah mengalir. Saya pasti tak ada siapa yang menyaksikan.” Riak wajah mursyid tetap tidak berubah. Matanya beralih ke arah Basri yang masih separuh tunduk. Serba salah menerpa jiwa Basri. Wajahnya pucat. Tubuhnya sedikit bergetar.

“Maaf, tuan guru. Saya tak dapat melakukannya.”

“Mengapa, bukankah itu suatu arahan?”.

“Tak mungkin dapat dilakukan.” Basri berjeda, menarik nafas sebelum menghembuskannya semula.“ Saya telah mencubanya di dalam hutan. Juga cuba pada kesunyian malam. Ternyata semuanya sia-sia, tetap ada yang memandang.” Basri berusaha menjelaskan tentang kegagalannya itu.

“Siapa yang melihatmu dalam hutan yang sunyi dan malam pekat?” Mursyid menebarkan jaring duga.

“Allah tak pernah tertidur biarpun sejenak. Mana mungkin manusia dapat berbuat sesuatu, tanpa Dia mengetahui.” Jawapan Basri meluncur lancar.

Mursyid tersenyum memandang Basri dengan wajah yang penuh berseri, lalu melepaskan bicara.

“Alhamdulillah dan tahniah, Basri. Ternyata kamu telah berjaya melepasi jerat muslihat kerana sentiasa ingat, Dia maha melihat”.

Rasa syukur mengalir damai di hati Basri. Dia terkenangkan ayam kampung yang bertempiaran lari setelah dilepaskan dari raga di halaman rumahnya semalam. Dia tersenyum lega. Helmi dan Syukri dilihatnya dipinga-pinga. Ternyata mereka telah terperangkap dalam jerat muslihat. Ya, jerat muslihat. <END>


Pengarang :