SELANGORSUKANKINI

Kadar berpatutan di litar lumba Sungai Tua

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Negeri memberi jaminan litar lumba di Sungai Tua akan mengenakan kadar bayaran berpatutan untuk kegunaan semua pihak selepas siap kelak.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, setakat ini, pembangunan projek berkenaan menerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dalam proses penetapan tanah yang dikendalikan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak.

“Kerajaan Negeri memberi jaminan kemudahan dibina ini akan dijadikan sebagai pusat litar latihan dan terbuka kepada semua kumpulan atau inidvidu khususnya generasi muda.

“Kadar bayaran berpatutan dan akan ditentukan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dibangkitkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Katanya, tempoh jangkaan siap litar seluas 20 ekar ini akan ditentukan kontraktor bertanggungjawab dan bergantung kepada kriteria pembinaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam ucapan pembentangan Belanjawan’19, 23 November tahun lalu menyatakan litar lumba ini akan mempunyai kemudahan berkapasiti 1,000 penonton dan dilengkapi kemudahan seperti paddock, kafeteria, surau dan gerai jualan.

Bagi memaksimakan penggunaan, litar ini juga boleh digunakan sebagai litar latihan pemanduan bagi jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis dan Bomba.


Pengarang :