Kajian menyeluruh pengiktirafan UEC diserah Julai ini | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Kajian menyeluruh pengiktirafan UEC diserah Julai ini

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Laporan penuh kajian dasar berhubung pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) akan dikeluarkan pada Julai ini sebelum diserahkan kepada Kabinet.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kajian yang mula dijalankan sekitar Oktober tahun lalu itu merangkumi hasil perbincangan daripada pelbagai sudut termasuk ekonomi, sosial dan pendidikan.

“Sebarang syor kepada kerajaan harus dikaji secara komprehensif dengan mengambil pandangan semua pihak daripada pelbagai lapangan dan tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya pada sidang media ketika memperkenalkan barisan pasukan petugas dasar UEC di sini, hari ini.


Pasukan petugas dasar UEC dipengerusikan Pengasas Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Melayu (Pusaka), Eddin Khoo Bu Eng serta dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim dan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Datuk Tan Yew Sing.

Maszlee berkata, setakat ini pasukan petugas itu telah menjalankan 14 sesi temubual melibatkan 34 slot bersama tokoh individu serta pelbagai pertubuhan dan proses mengumpulkan maklumat masih berjalan.

Beliau yakin hasil kajian itu akan memberi gambaran lebih komprehensif, jelas tanpa berat sebelah dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan negara.

UEC merupakan sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Pengiktirafan UEC adalah antara janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next