NASIONAL

Kanser berkaitan obesiti, masalah baharu bagi Malaysia

GEORGE TOWN, 2 MAC: Kanser yang berhubung kait dengan obesiti kini muncul sebagai satu masalah baharu bagi Malaysia memandangkan negara ini adalah negara paling “obes” di rantau Asia Tenggara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, risiko seumur hidup seorang lelaki dan wanita di Malaysia mendapat kanser masing-masing dalam nisbah satu dalam sepuluh dan satu dalam sembilan orang.

Beliau berkata, obesiti menduduki tempat kedua selepas merokok dalam hubungannya dengan kanser dan Malaysia adalah sebuah negara paling ‘obes’ dengan kelaziman obesiti mencatatkan 17.7 peratus manakala berlebihan berat badan mencatat 30 peratus.

“Dengan obesiti dianggap sebagai penyebab utama kanser ia akan mengurangkan tanggapan terhadap penyakit lain seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit kardiovaskular,” katanya selepas melancarkan Hari Konsert Sedunia 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata, obesiti dikaitkan sehingga kepada 13 jenis kanser – seperti kanser payu dara, kolorektal, rahim, buah pinggang, kepala dan leher, kerongkong, pankreas, peranakan, prostat, pundi kencing dan tiroid.

Katanya, mengikut data oleh Institut Kanser Negara, seseorang yang obes berhadapan risiko dua atau empat kali ganda untuk mendapat kanser peranakan dan kerongkong.

“Seseorang dengan indeks mass badan lebih 30 juga berisiko dua kali ganda untuk mendapat kanser gastrik kardia, hati dan buah pinggang berbanding dengan orang biasa,” katanya.

Sementara itu, Dr Lee yang juga Ahli Parlimen Gopeng, Perak berkata, kerajaan sedang mengkaji beberapa langkah untuk mengurangkan kos ubat kanser.

Katanya, perbincangan telah dijalankan antara kementerian kerajaan untuk mengatasi isu kos tinggi bagi ubat kanser.

“Kami telah membincangkan perkara berkenaan dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan memandangkan kementerian berkenaan menyediakan perkhidmatan hospital dan kami sedang mengkaji kemungkinan untuk membeli ubat kanser secara pukal bagi mengurangkan kos,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :