SELANGOR

Karnival 3W jelajah Klang 30 Mac

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 MAC: Karnival 3W (Women, Welfare & Wellness) akan menjelajah ke Kompleks Sukan Pandamaran, Klang, pada 30 Mac ini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, karnival yang berlangsung seawal jam 7 pagi hingga 10 malam itu kali ini memilih tema Hari Wanita dan Hari Buah Pinggang Sedunia.

Katanya, ia bersesuaian dengan sambutan kedua-dua hari terbabit yang jatuh pada bulan Mac.

“Saya mengalu-alukan kehadiran warga Klang dan masyarakat berhampiran untuk bersama memeriahkan Karnival 3W ini kerana pelbagai aktiviti menarik tersedia khusus buat anda.

“Antara aktiviti disediakan sepanjang satu hari karnival itu berlangsung adalah 10,000 langkah, demostrasi masakan, demostrasi pertahankan diri wanita, persembahan artis dan banyak lagi bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit,” tulisnya di Facebook.

Karnival 3W julung kali diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah, pada 10 Februari lalu sebagai penambahbaikan daripada Karnival Sihat Selangor yang pernah diwujudkan sebelum ini.

Objektif pelaksanaan adalah untuk mempromosi pelbagai bantuan dan khidmat ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat.

Karnival itu juga akan menjelajah ke seluruh PBT, pada setiap bulan dengan tema berbeza berdasarkan sambutan hari penting, pada bulan terbabit.


Pengarang :