NASIONAL

Kastam rampas syabu RM5 juta di Penampang

KOTA KINABALU, 6 MAC: Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas 100 kilogram syabu bernilai kira-kira RM5 juta dan menahan seorang lelaki di hadapan sebuah premis di Penampang, pada 21 Februari lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan), Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata, lelaki berumur lingkungan 40-an itu ditahan sepasukan anggota Penguatkuasaan Kastam Kota Kinabalu, kira-kira jam 2.15 petang.

“Ketika ditangkap, lelaki berkenaan sedang berdiri di luar sebuah premis bersama beberapa kotak mengandungi plastik yang berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Hasil siasatan mendapati dadah berkenaan akan disorokkan di dalam botol ‘protein’ yang kemudiannya diposkan di Kota Kinabalu ke satu lokasi yang belum dikenal pasti menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, rampasan berkenaan adalah yang terbesar oleh Kastam Sabah, sejak tiga tahun lalu.

“Kini kita sedang membuat siasatan lanjut berhubung kes berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Abdul Latif berkata, pihaknya menahan seorang wanita berumur lingkungan 20-an bersama lima kilogram syabu, di balai ketibaan domestik Lapangan Terbang Kota Kinabalu, pada 1 Mac lalu.

“Hasil pemeriksaan bagasi suspek berkenaan yang menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu mendapati mengandungi plastik berisi hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu seberat lima kilogram yang dianggarkan bernilai kira-kira RM200,000,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kastam turut menahan seorang lelaki berumur 40-an kerana memiliki 4,900 pil disyaki pil ekstasi dianggarkan bernilai RM122,500, di Pejabat Pos Sandakan, pada 27 Februari lalu.

“Lelaki berkenaan ditahan ketika membuat tuntutan bungkusan pil ekstasi yang sebelum itu didapati dadah melalui hasil imbasan kastam di pejabat pos berkenaan,” katanya.- BERNAMA


Pengarang :