SELANGOR

Kebebasan cara hidup LGBT perlu dikekang – Mufti Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 MAC: Kebebasan cara hidup golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) perlu dibendung sewajarnya daripada terus merebak, kata Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

Beliau berkata, namun kekangan terbabit bukannya bermakna Islam menghalang kebebasan, sebaliknya kebebasan Islam adalah mengikut syarak.

“Aktiviti LGBT ini sudah tentunya dilihat bercanggah dengan agama dan secara terang-terangan perjuangan mereka ialah lelaki boleh berkahwin dengan lelaki, perempuan boleh berkahwin dengan perempuan.

“Amatlah wajar sekiranya Kerajaan Negeri mengambil tindakan serius isu ini memandangkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah bertitah bahawa ancaman LGBT ibarat api dalam sekam yang sedang memusnahkan Islam dan pengikutnya dari dalam,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, Sultan Selangor menerusi akaun instagram Selangor Royal Official bertitah, fahaman liberalisme yang memperjuangkan hak kesamarataan sehingga membawa budaya LGBT perlu ditangani segera.

Titah Baginda lagi, budaya LGBT itu perlu ditangani dengan lebih berkesan agar ianya tidak menjadi satu ikutan dan ‘trend’.

Mengulas lanjut, Mohd Tamyes berkata, Islam adalah agama terpimpin serta bukannya bebas mengikut logik semata-mata.

“Sultan Selangor juga sudah menyuarakan perkara ini, tetapi kita bertindak bukan atas titah Tuanku semata-mata, sebaliknya, umat Islam ini perlu patuh pada undang-undang syarak Islam,” katanya.


Pengarang :