SELANGOR

Kebun Komuniti USJ 14 julang nama MPSJ

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SUBANG JAYA, 5 MAC: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berjaya memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Inisiatif Landskap Komuniti Terindah anjuran Jabatan Landskap Negara, pada 3 Mac lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya, Azfarizal Abdul Rashid berkata, MPSJ melalui inisiatif Kebun Komuniti USJ 14 memenangi dalam kategori Landskap Komuniti Negara Taman.

Katanya, buat julung kali MPSJ menghantar 3 calon kebun komuniti untuk dipertandingkan, kebun itu adalah kebun komuniti USJ 6, USJ 12 dan USJ 14.

“Penilaian dibuat daripada aspek pengurusan organisasi, perancangan landskap komuniti, inisiatif perlandskapan, penyelenggaraan dan pembaikan infrastruktur hijau dan inisiatif peningkatan kualiti landskap.

“Hasil saringan, Kebun Komuniti USJ 14 terpilih menjadi 5 kumpulan terbaik dan 3 Mac (Ahad) lalu ia terpilih mendapat tempat kedua,” katanya dalam kenyataan.

Hadiah kemenangan berupa geran RM 15,000, sijil penyertaan dan plak kemenangan yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Taman Botanik, Putrajaya.

Sementara itu, MPSJ turut membuka reruai pameran sempena Hari Landskap Negara yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mac lalu.


Pengarang :