NASIONAL

Kekalahan PAKATAN mesej jelas rakyat – Azmin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 MAC: Kekalahan Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, semalam jelas menyaksikan keputusan rakyat dengan mesej jelas.

Naib Presiden PAKATAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu adalah tuntutan rakyat supaya kerajaan PAKATAN segera bertindak menyelesaikan masalah dan kebajikan tanpa perlu menyalahkan mana-mana pihak.

Katanya, kerajaan perlu bertindak secara kolektif dalam satu semangat untuk melaksanakan agenda reformasi dan pembangunan untuk rakyat.

“Menginsafi suara rakyat dalam PRK Semenyih dan Cameron Highlands, PAKATAN akan segera menggarap mesej pengundi dengan mengemukakan inisiatif baharu sebagai langkah pada masa hadapan.

“Kami menjiwai sentimen dizahirkan rakyat dan komited untuk mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu yang sedang membelenggu rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, justeru kerajaan akan segera mengambil inisiatif untuk meringankan beban ekonomi rakyat.

Katanya, Majlis Tindakan Ekonomi akan segera melaksanakan usaha mengurangkan kos sara hidup, memperkukuh pendapatan rakyat, membasmi kemiskinan dan meningkatkan tahap pemilikan rumah di kalangan rakyat.

“Kerajaan PAKATAN juga akan menggandakan usaha melaksana perubahan sehingga menjadi sumber kekuatan rakyat.

“Kita harus berani dan tidak gundah-gulana untuk segera melaksanakan janji khususnya kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera yang adalah bagian integral daripada agenda nasional.

“Kita akan melaksanakannya tanpa rasa apologetik atau bimbang terhadap kritikan luar,” katanya.


Pengarang :