Kekang penyalahgunaan media sosial, MCMC serbu 11 lokasi | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Kekang penyalahgunaan media sosial, MCMC serbu 11 lokasi

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Sebelas lokasi di beberapa negeri diserbu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam usaha mengekang penyalahgunaan media sosial di negara ini.

Serbuan dengan sokongan pihak polis itu dilakukan di Putrajaya; Petaling Jaya (Selangor); Perai dan Simpang Ampat (Pulau Pinang); Kerteh dan Kuala Dungun (Terengganu); Pasir Puteh (Kelantan); Kluang dan Indahputra (Johor); serta Bachang dan Masjid Tanah (Melaka) susulan aduan mangsa.

Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan MCMC, Datuk Mohd Shafie Harun berkata, kebanyakan kesalahan yang dikesan menjurus kepada perbuatan menghantar kandungan bersifat lucah seperti video seks.


Selain itu, katanya, terdapat juga kesalahan membabitkan penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) yang jelik dan menghina serta kandungan mengancam dengan niat untuk mengganggu dan menyakitkan hati orang lain.

“Dalam operasi serbuan itu, rakaman percakapan turut diambil daripada suspek-suspek manakala beberapa peranti komunikasi, kad SIM, kad memori, komputer riba, dan cakera keras dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohd Shafie berkata, menurut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 adalah satu kesalahan bagi seseorang membuat dan memulakan penghantaran sebarang komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

“Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau seterusnya menggesa pengguna media sosial di negara ini agar meningkatkan kawalan kendiri ketika mengakses Internet dan tidak menggunakannya sebagai platform untuk menyebarkan perkara-perkara sensitif yang boleh mengundang kemarahan orang awam.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next