BERITA UTAMASELANGOR

Keluaran padi melonjak lepas sertai FFS

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJONG KARANG, 6 MAC: Pengeluaran padi peserta Farmers Field School (FFS) Institut Pengurusan Peladang (IPP) berjaya meningkatkan hasil masing-masing sehingga mencecah 10.6 tan, berbanding sebelumnya sekitar tujuh hingga lapan tan sehektar.

Pesara kerajaan, Mohamad Sulaiman Mat Said berkata, kejayaan itu diperolehi selepas mendapat pendedahan dan tunjuk ajar betul daripada tenaga pengajar FFS.

“Sejak saya bersara kerajaan 10 tahun lalu, saya mula mengusahakan tanaman padi dan selepas menggunakan teknik dipelajari, inilah hasil tertinggi pernah saya perolehi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi FFS dan Hari Bertemu Pelanggan Pejabat Pertanian Selangor, di Dewan IPP Tanjong Karang, di sini, hari ini.

Peserta tunggal wanita, Zanariah Nordin berkata, golongan wanita wajar menyertai kursus percuma selama enam bulan itu bagi meningkatkan pengeluaran dan mutu padi masing-masing.

“Ilmu yang diajar memang sangat berguna untuk saya mengusahakan penanaman padi,” katanya.

Peserta yang memiliki tanah sawah di Kampung Sempadan, Mohamad Rizal Tumpok pula bersedia untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan diperolehinya kepada rakan pesawah lain.

“Kurusus ini memberi pengalaman dan menambah ilmu kepada saya dalam pelbagai aspek penanaman padi seperti teknologi serta teknik yang betul.

“Ilmu yang saya perolehi ini akan dikongsikan kepada rakan lain supaya mereka juga dapat meningkatkan hasil (padi) seperti saya,” katanya.


Pengarang :