NASIONAL

Kementerian Kewangan lulus peruntukan khas Food Bank Malaysia

PUTRAJAYA, 18 MAC: Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan khas kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi melaksanakan program Food Bank Malaysia.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, program bantuan itu menyasarkan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) termasuk di universiti awam.

Katanya, peruntukan lebih RM3 juta itu adalah bagi membeli 14 unit lori dilengkapi pendingin bagi tujuan logistik.

“Ini adalah inisiatif awam-swasta untuk memperluas capaian bank makanan yang ditubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media bersama Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di sini, hari ini.

Terdahulu, Guan Eng mengadakan sidang media berasingan mengenai kejayaan menyempurnakan penerbitan Bon Samurai oleh kerajaan Malaysia di sini.

Katanya, peruntukan tersebut juga bertujuan memastikan bantuan dapat disalurkan dengan sebaiknya kepada pihak yang memerlukan.

Sementara itu, Saifuddin berkata, program Food Bank Malaysia dimulakan di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya masing-masing pada 26 Feb dan 7 Mac lalu.

Beliau berkata ia akan diperluas ke Universiti Putra Malaysia pada 21 Mac, Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang (23 Mac), Universiti Malaysia Pahang (1 April), Universiti Sains Malaysia (8 April), Universiti Utara Malaysia (15 April) dan Universiti Malaysia Sabah (22 April).

Mengikut program berkenaan, KPDNHEP akan membekalkan bahan mentah kepada persatuan pelajar yang bertanggungjawab menyediakan petugas untuk kerja-kerja memasak serta mengagihkan makanan, katanya.

Beliau berkata pihak universiti akan bertanggungjawab menyediakan kemudahan bagi tujuan penyediaan makanan termasuk keperluan memasak serta senarai pelajar dalam golongan B40.

— BERNAMA


Pengarang :