Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Kementerian Luar sahkan kematian Muhammad Haziq

PUTRAJAYA, 21 MAC: Kementerian Luar hari ini mengesahkan dan mengumumkan kematian Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, iaitu salah seorang mangsa yang terbabit dalam kejadian tragis di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Dalam kenyataannya, kementerian itu memaklumkan, Allahyarham Muhammad Haziq adalah salah seorang daripada 50 mangsa yang kehilangan nyawa dalam insiden berkenaan.

“Beliau adalah anak kepada Mohd Tarmizi Shuib yang juga mengalami kecederaan ketika serangan itu berlaku manakakal rakyat Malaysia lain yang kini cedera ialah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.

“Kerajaan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Haziq dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan membantu dalam keluarga beliau dalam urusan pengkebumian,” katanya.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, akan turut ke Christchurch bagi mewakili kerajaan dalam memberi sokongan kepada rakyat Malaysia yang terjejas dalam kejadian itu.

“Kementerian juga mengharapkan kerjasama pihak media dan orang ramai untuk menghormati perasaan anggota keluarga terbabit dalam menghadapi saat sukar ini,” katanya.

 


Pengarang :