SELANGOR

Kempen banteras pembakaran terbuka di Johan Setia dilaksana

SHAH ALAM, 8 MAC: Kempen ‘Banteras Pembakaran Terbuka – Johan Setia’ dilaksana sebagai inisiatif mencegah berlakunya kejadian kebakaran ketika cuaca panas ini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, ini kerana Johan Setia adalah kawasan kerap berlaku kebakaran hutan setiap tahun ketika negara berdepan cuaca panas.

Katanya, kempen itu dijalankan Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dengan kerjasama Pejabat Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Klang (MPK) Zon Sungai Kandis B dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Johan Setia.

“Menerusi kempen ini penduduk bertindak sebagai agen pemberi maklumat berkenaan kegiatan pembakaran terbuka secara ‘on the spot’ menggunakan kaedah laporan ‘STS – Snap, Tag & Send’ menerusi aplikasi Whatsapp.

“Dengan tiga langkah mudah ini, penduduk hanya perlu mengambil gambar pembakaran terbuka (snap) kemudian menanda lokasi Maps (tag) dan hantar (send) kepada nombor kordinator Unit Bertindak kempen ini yang akan dimaklumkan pada bahan kempen,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pejabat Ahli Majlis Zon Sungai Kandis juga akan dijadikan sebagai ‘One Stop Centre’ untuk kegunaan penguatkuasa MPK (Skuad Pantas) dan agensi lain yang turut terlibat dalam menjalankan operasi pemantauan, pencegahan dan pemadaman kebakaran.

– BERNAMA


Pengarang :