NASIONAL

Kempen henti merokok dapat sambutan – Dr Dzulkefly

PUTRAJAYA, 5 MAC: Seramai 143 perokok mendaftar bagi mendapatkan perkhidmatan bimbingan berhenti merokok ‘mQuit’ disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sejak Januari hingga minggu kedua Febuari lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kesedaran dalam kalangan perokok tersebut adalah berikutan pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok yang berkuatkuasa 1 Januari lalu.

“Ini merupakan sambutan luar biasa dan saya merasakan pewartaan tempat makan sebagai tempat larangan merokok adalah satu langkah positif, bagi meningkatkan tahap kesihatan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya percaya larangan tersebut yang bersifat prohibitif, apabila digabungkan dengan program mQuit yang bersifat promotif membantu membudayakan amalan tidak merokok sekali gus membantu usaha mencapai sebuah negara bebas amalan merokok,” katanya lapor BERNAMA.

Sehingga kini, perkhidmatan berhenti merokok itu ditawarkan di 731 klinik kesihatan, 46 hospital kerajaan dan 164 fasiliti swasta yang diberikan akreditasi.

Mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan bimbingan berhenti merokok sama ada di fasiliti awam mahupun swasta boleh mendaftarkan diri di laman sesawang jomquit.moh.gov.my.

Ditanya mengenai terdapat perokok yang masih merokok di premis makanan sehingga kini, Dr Dzulkefly berkata ia hanya melibatkan 12 peratus perokok, sementara 88 peratus akur dengan larangan yang dikeluarkan.

– BERNAMA

 


Pengarang :