SELANGOR

‘Kenali KDEB’ landasan terbaik dedah operasi pembersihan

OLEH NORHAYATI UMOR

SABAK BERNAM, 18 MAC: Slot Kenali KDEB Waste Management (KDEBWM) di Jelajah 360 Smart Selangor merupakan landasan terbaik untuk orang awam mengetahui lebih lanjut berkaitan perkhidmatan ditawarkannya di sesuatu kawasan.

Ketua Jabatan Media dan Perhubungan Awam KDEBWM, Mahfuzah Muhamad Tarmidi berkata, selain menyediakan ruang pameran, slot berkenaan turut menerangkan mekanisme penyaluran aduan berhubung sisa pepejal pada saluran yang tepat.

“Ia termasuk menggalakkan penduduk Sabak Bernam memuatnaik aplikasi iClean supaya sesuatu aduan lebih teratur, sistematik dan lebih pintar.

“Justeru, di program jelajah ini orang ramai boleh mendapatkan maklumat tepat mengenai KDEBWM dan ini merupakan tempat terbaik untuk kakitangan menerangkannya kepada orang awam,” katanya kepada SelangorKini.

Mahfuzah yang mengendalikan slot Kenali KDEBWM itu turut menerangkan latar belakang dan tugas syarikat yang diberikan tanggungjawab menguruskan kutipan sisa domestik dan pembersihan awam seluruh Selangor.

Manakala, katanya, di kawasan Sabak Bernam, pihaknya mula mengambil alih operasi kutipan sisa pepejal kira-kira lima bulan lalu.

“Oleh itu, menerusi slot ini kita menerangkan kepada orang awam skop kutipan di kawasan itu termasuk jadual kutipan harian,” katanya.

Jelajah 360 Smart Selangor itu diadakan pada Sabtu dan Ahad lalu di Stadium Sungai Besar, di sini yang bertujuan menyampaikan maklumat berhubung pelaksanaan inisiatif-inisiatif Smart Selangor.

KDEBWM adalah syarikat milik penuh Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) yang diberikan tanggungjawab melakukan kerja pembersihan berkenaan secara berperingkat.

Pengurusan kutipan sampah di semua kawasan oleh pihaknya menjanjikan pembaharuan modus operandi dengan konsep ‘Smart Waste Solution’.

Sehingga kini, KDEBWM sudah mengambil alih kerja pembersihan di 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pada Julai ini, pihaknya akan mengambil alih Majlis Bandaraya Shah Alam.

Dengan pengambilalihan itu menjadikan kesemua kerja pembersihan di Selangor di bawah selianya KDEBWM.


Pengarang :