NASIONAL

Kerajaan akan buat pilihan masa depan MAS

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Kerajaan akan melihat pilihan yang ada untuk masa depan syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) termasuk menutup operasi berikutan masalah kewangan kewangan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji pilihan itu sebelum membuat sebarang keputusan memandangkan situasi semasa kini disifatkannya serius.

“Saya rasa ini satu perkara yang serius. Untuk menutup MAS, mesti ingat kajian yang dilakukan sama ada kita perlu tutup, jual atau pembiayaan semula, semua ini terbuka kepada kerajaan untuk buat pilihan,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen.

Mengulas mengenai isu sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Dr Mahathir ada mengemukakan pandangannya bagi menguruskan situasi kini malahan pengurusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan MAS telah hadir dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah.

“Mereka ambil perkara ini dengan serius dan kita akan cari penyelesaiannya. Pihak pengurusan akan lihat perkara itu,” katanya.

Khazanah merekodkan susut nilai berjumlah RM7.3 bilion bagi tahun lalu dengan sebahagian besarnya disumbang MAS.

Jumlah susut nilai pada tahun lalu adalah tiga kali ganda melebihi susut nilai sebanyak RM2.3 bilion pada 2017.


Pengarang :