NASIONAL

Kerajaan ambil jalan tengah isu pengajaran sains, matematik

SHAH ALAM, 9 MAC: Kerajaan mengambil pendekatan membenarkan pengajaran mata pelajaran sains dan matematik sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa kebangsaan, di sekolah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pendekatan jalan tengah itu diambil kerana ada rakyat Malaysia menyokong penggunaan bahasa Inggeris bagi pengajaran mata pelajaran berkenaan dan ada juga yang menentang.

“Tetapi kita akan kaji supaya kita samakan bagi semua sekolah kerana tentu akan menganiayakan sesuatu kumpulan kerana mereka akan dapat keuntungan daripada satu bahasa dan (tetapi) mereka tidak diberi hak untuk belajar daripada bahasa itu.

“Khususnya, ramai yang berpendapat bahawa bahasa Inggeris akan menjadikan seseorang yang lulus lebih mudah diterima di pasaran,” katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatannya ke Filipina, semalam.

Turut hadir dalam sidang akhbar berkenaan ialah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Berhubung lawatannya ke Filipina, Dr Mahathir berkata, beliau berpeluang mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatannya, Presiden Rodrigo Duterte dan membincangkan pelbagai isu berkenaan kepentingan bersama Malaysia dan Filipina.

“Hampir kesemua isu (dibincangkan dengan Presiden Duterte) tidak ada yang tidak dipersetujui. Persepsi mungkin berlainan tetapi persoalan tuntutan ke atas Sabah (oleh Filipina) bukan subjek perbincangan yang begitu menekan,” katanya. –BERNAMA


Pengarang :