NASIONAL

Kerajaan cadang hukuman mati atas budi bicara mahkamah

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Kerajaan mencadangkan hukuman mati atas budi bicara mahkamah dilaksana bagi menggantikan hukuman mati mandatori.

Ia membabitkan sembilan kesalahan mengikut Kanun Keseksaan dan dua kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, cadangan itu bagi mengotakan janji ke-27 manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) yang mahu memansuhkan hukuman mati mandatori.

“Hukuman mati mandatori ini hanya membabitkan dua undang-undang iaitu Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga tidak mempunyai sebarang cadangan sama ada mahu memansuhkan hukuman mati berkaitan kesalahan yang terdapat di negara ini.

Terdahulu, Che Abdullah bertanya berkenaan mahu mengetahui sama ada kerajaan membuat kajian terperinci sebelum membuat keputusan pemansuhan hukuman mati.


Pengarang :