JOHOR BAHRU, 13 Mac — Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian melawat mangsa pencemaran bahan toksik di Sungai Kim Kim yang mendapatkan rawatan awal di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor Dr Sahruddin Jamal (kanan). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan Negeri bidas dakwaan pembangkang konon lambat bertindak

JOHOR BAHRU, 14 MAC: Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, membidas kritikan pembangkang yang mendakwa kononnya kerajaan negeri lambat bertindak dalam menangani isu pencemaran toksik ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, di sini.

Ditemui pemberita selepas melawat mangsa kejadian di Hospital Sultan Ismail (HSI), malam tadi, beliau menegaskan langkah awal dalam menangani isu itu sudah dilaksanakan sejak hari pertama kejadian, pada Khamis lalu.

Katanya, selain bantuan kepada mangsa, keluarga dan petugas keselamatan, langkah menyeluruh diambil termasuk menyediakan peruntukan RM6.4 juta bagi kerja pembersihan Sungai Kim Kim.

“Benda ini daripada awalnya dalam pengetahuan kita. Yang dia (pembangkang) tidak tahu, sama ada dia turun padang atau tidak. Dia hanya buat andaian sahaja, buat ramalan secara rambang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab kritikan bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas exco kesihatan negeri, Datuk Ayub Rahmat yang mendakwa kerajaan negeri lemah dan bersikap acuh tidak acuh dalam menangani isu terbabit.

Osman berkata, pembangkang seharusnya bersama-sama membantu kerajaan negeri menangani isu itu dan bukan hanya mengkritik atau menakut-nakutkan rakyat.

“Yang ini baru pemimpin yang setia pada rakyat. Kritik nak buat apa? Tak bawa apa-apa perubahan tetapi hanya semata-mata untuk meraih keuntungan politik. Itu sahaja dia punya motif,” katanya.

Terdahulu, beliau yang tiba di hospital itu pada 9.15 malam meluangkan masa hampir sejam untuk melawat mangsa yang dirawat di hospital berkenaan.

Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut melawat mangsa di hospital berkenaan. -BERNAMA


Pengarang :